KUALA LUMPUR: Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) adalah wajar bagi mengekang isu penyebaran berita palsu dan meningkatkan kualiti pelaporan berita oleh agensi media dalam negara.
Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang berkata, penubuhan majlis itu juga dilihat mampu memainkan peranan besar dalam menjaga kebajikan pengamal media khususnya dalam era digitalisasi pada masa kini.
“Saya mahu majilis media ini ditubuhkan dalam negara walaupun perkara ini sebenarnya perlu dilaksanakan dari dahulu lagi, tetapi saya rasa sudah tiba masanya untuk kita benar-benar wujudkan satu badan yang berperanan untuk mengekang berita palsu dan menjaga kebajikan pengamal media.
“Berita palsu ini isu besar, kerana pada hari ini semua individu boleh jadi penulis dengan adanya akses kepada media sosial. Situasi ini berbeza dengan syarikat media yang mempunyai tapisan tersendiri. Jadi ini yang kita kata ‘setback’ yang besar dalam landskap media hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membincangkan mengenai topik cabaran pemberitaan media pada program Ruang Bicara terbitan BernamaTV, malam tadi.
Cadangan penubuhan MMC disuarakan peserta Wacana Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 2018 yang mewakili pelbagai pertubuhan media di seluruh negara.
Pada 5 Disember lepas, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau perlu mendapatkan perincian berhubung cadangan tersebut daripada pengiat industri media khususnya persatuan wartawan.
Dalam pada itu, Azman berkata, wartawan generasi baharu juga perlu lebih berketerampilan dan berani untuk membawa dan bertanyakan isu-isu kritikal kepada pihak berkenaan khususnya apabila profesion itu membawa suara-suara rakyat serta membela nasib mereka.
Senada dengannya, Penasihat Portal Berita Bebas News, Datuk Zaini Hassan berkata, penubuhan majlis media dilihat tepat pada masanya bagi melindungi media daripada serangan pihak-pihak tertentu semasa pelaporan berita.
“Di United Kingdom, mereka ada biro aduan media sendiri yang berperanan untuk mendengar kes-kes rakyat melibatkan media. Seperti contoh iklan yang boleh pengaruh kanak-kanak, maka apabila rakyat buat aduan maka majlis media ini akan buat penilian terhadap kes itu.
“Ini adalah bagi mengekang serangan pihak tertentu terhadap media seperti kes saman dan sebagainya. Maka dengan mewujudkan majlis media ini, ia akan menilai dan mendengar kes-kes tersebut dan bukan terus dibawa ke mahkamah,” katanya. – BERNAMA