HomeBeritaMPAJ batalkan lesen niaga premis tular 'tikus jamah ayam goreng'

MPAJ batalkan lesen niaga premis tular ‘tikus jamah ayam goreng’

CYBERJAYA: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) berkuat kuasa serta-merta ke atas premis makanan yang tular dengan kejadian seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan.

Yang Dipertua MPAJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, tindakan sitaan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen juga akan dilakukan sekiranya premis berkenaan masih beroperasi setelah NPPL dikeluarkan.

Katanya, MPAJ hanya akan mempertimbangkan permohonan lesen baharu jika semua syarat khususnya berkaitan kebersihan dipatuhi sepenuhnya.

“NPPL yang berkuat kuasa serta-merta akan dikeluarkan ke atas premis makanan tersebut selaras dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, yang telah mengeluarkan Notis Perintah Tutup pada 24 Disember lalu ke atas premis berkenaan.

“Pemeriksaan kebersihan premis makanan dari segi kawasan penyajian dan penyediaan makanan serta kawalan serangga perosak di premis juga dijalankan secara berkala oleh MPAJ.

“MPAJ mengambil berat isu yang telah berlaku ini dan tindakan akan diambil ke atas mana-mana premis makanan yang mengambil mudah tentang aspek kebersihan,” maklum MPAJ dalam satu kenyataan hari ini.

Merujuk kepada pemeriksaan lalu, MPAJ mendapati penarafan kebersihan di premis terbabit adalah pada Gred B bagi Jun 2021 dan terbaru pada Januari lalu.

Jelasnya, MPAJ akan sentiasa melakukan pemantauan kawalan kebersihan bagi memastikan syarat dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi.

Author

Pilihan Editor