SIBU: Pengeluar telur ayam di daerah ini menggesa kerajaan Persekutuan mengapungkan harga telur ayam bagi memastikan bekalannya di pasaran tempatan mencukupi, selain merangka dasar yang dapat meningkatkan pengeluaran makanan ayam.
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew berkata, pihak pengeluar sanggup bersaing dengan harga telur ayam import sekiranya kerajaan bersedia mengapungkan harganya.
“Pengeluar yakin harga telur ayam akan turun dalam tempoh beberapa bulan lagi dan bekalannya mencukupi jika Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengambil langkah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan Persatuan Penternak Ayam Sibu dan Persatuan Penjual Daging Sibu, di sini hari ini.
Beliau berkata, ahli persatuan itu mendakwa kos makanan ayam yang tinggi menyebabkan pengeluaran telur ayam terhad dan menyukarkan mereka untuk menjual pada harga kawalan purata RM12.90 sepapan.
“Kos makanan ayam meliputi 75 peratus daripada jumlah kos pengeluaran, jika kita boleh menghasilkan sendiri makanan ayam kita mampu mengawal harga produk tersebut. Jika Malaysia tidak dapat mengeluarkan makanan ayam 100 peratus, pengeluaran 50 peratus sudah cukup baik,” katanya.
Dalam pada itu, Ling berkata, persatuan itu turut menggesa kerajaan memberikan lebih banyak lesen mengimport daging babi bagi menyelesaikan masalah kekurangan daging tersebut.
Menurutnya ketika ini hanya terdapat empat pengimport daging babi berlesen di sini dan pengguna terpaksa bergantung kepada penternak dari Kuching untuk mendapatkan bekalan tambahan.
Ladang ternakan babi di Sibu telah ditutup sejak tercetusnya wabak demam babi Afrika (ASF) pada awal tahun ini dan kebanyakan penternak tidak dapat memulakan semula kerana kekurangan modal.
“Sehubungan itu, mereka mencadangkan penubuhan insurans pertanian sama ada swasta mahupun kerajaan supaya petani yang terjejas oleh penyakit seperti ASF boleh memulakan semula penternakan mereka menerusi dana daripada insurans,” tambahnya. – BERNAMA