HomeBeritaPenyewa Seri Perlis 2 rayu agar diberi hak pemilikan seperti dijanjikan Tun...

Penyewa Seri Perlis 2 rayu agar diberi hak pemilikan seperti dijanjikan Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Penyewa Perumahan Awam Seri Perlis 2 menggesa agar kerajaan memberikan hak pemilikan rumah kepada mereka seperti yang dijanjikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Penaja Persatuan Perumahan Awam Seri Perlis 2, Norhashimah Daud berkata, gesaan ini adalah susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Seperti yang kita maklum dan dengar, Perdana Menteri kita telah menyebut Perumahan Awam Seri Perlis 2 akan dirobohkan atau pun dibangunkan, tetapi tidak secara terperinci.

“Kami di sini telah pun menyewa hampir 40 tahun, daripada generasi ayah saya sehingga kepada saya, dan sudah pun mempunyai cucu.

“Jadi, isunya di sini ialah penduduk Perumahan Awam Seri Perlis 2 itu tidak lagi mendapat pemilikan, terus-menerus menyewa selama 40 tahun,” kata Norhasimah dalam sidang media pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru dan dipimpin Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.

Menurut Norhashimah, penduduk perumahan itu pernah ditawarkan oleh Perdana Menteri terdahulu iaitu Mahathir sekitar tahun 80-an, untuk mendapat pemilikan rumah jika menyewa selama 10 tahun.

Namun, katanya, sehingga sekarang isu pemilikan rumah itu masih lagi belum diperoleh mereka.

“Dalam masa 10 tahun kebelakangan ini ada isu-isu untuk dirobohkan tetapi tidak terus kepada kami penyewa.

“Jadi, pergolakan terus bergolak sehinggalah pertukaran Perdana Menteri, hanya Perdana Menteri yang baharu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim baru menyuarakan baru-baru ini hasrat untuk dirobohkan atau pun dibangunkan semula, kita tak pasti.

“Tetapi nasib kita di Seri Perlis 2, beginilah, sudah hampir 40 tahun, tak seperti di flat-flat lain yang sudah ada perbincangan, sudah ada kata putus dan memberi sedikit ruang kepada penghuni atau pemilik, ada yang sudah dijual, tetapi di Seri Perlis 2 ini tidak ada,” luahnya lagi.

Dalam pada itu, Khalid berkata, beliau akan membawa wakil penduduk ini bertemu dengan Anwar bagi menyuarakan isu penduduk Seri Perlis 2 yang melibatkan 302 unit rumah dan 100 peratus penduduk Melayu.

Kata Khalid, ini adalah peluang bagi kerajaan baharu ini membuktikan untuk menolong orang-orang Melayu.

“Pokoknya, berikan peluang untuk pemilikan dengan ditawarkan harga untuk membeli, mereka sanggup, tetapi dengan harga yang munasabah lah, selepas sudah 40 tahun menyewa.

“Kalau dirobohkan, status mereka sebagai penyewa, mereka tidak akan dapat apa-apa, mungkin mereka akan diusir keluar kerana mereka tidak ada hak, mereka hanya menyewa.

“Kita harap juga Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersedia untuk menerima kunjungan rombongan daripada Seri Perlis 2, mungkin Seri Perlis 1 dan Seri Langkawi juga dan sebagainya yang mungkin menghadapi masalah yang lebih kurang sama,” kata Khalid.

Dalam sidang media yang sama, beliau juga turut membangkitkan isu penduduk Kampung Sungai Baru yang menerima notis pengusiran untuk mengosongkan rumah-rumah mereka dalam masa 30 hari dari hari penerimaan notis yang disifatkan satu tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Beliau juga berharap agar Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan memperjuangkan hak penduduk Kampung Sungai Baru dan Perumahan Awam Seri Perlis 2 ini.

Berita berkaitan: Penyewa flat Seri Perlis 2 tuntut janji diberikan pemilikan [VIDEO]

Author

Pilihan Editor