PUTRAJAYA: Satu perjanjian gabungan membabitkan parti-parti dalam kerajaan akan ditandatangani dalam masa terdekat, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Tanpa mendedahkan kandungan perjanjian itu, Zambry yang dilantik sebagai Menteri Luar dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa siri perbincangan mengenai perjanjian itu telah diadakan.
“Akan ditandatangani sedikit masa lagi apabila semua pihak terbabit dapat mendalami perkara-perkara yang dicatatkan,” katanya pada sidang media hari pertama bertugas sebagai Menteri Luar di Wisma Putra hari ini.
Zambry berkata, perjanjian yang kini dalam draf peringkat akhir itu antara lain bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
“Perkara yang paling penting ialah bagaimana kita mewujudkan perjanjian gabungan ini untuk semua parti bersatu. Jika tidak, kita tidak akan mempunyai gabungan seperti ini, kita perlu menjaga setiap parti dalam kerajaan gabungan ini,” katanya.
Parti yang membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 adalah Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Bebas. – BERNAMA