CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah terus meroyan apabila gagal dilantik sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengingatkan Muhyiddin bahawa kuasa pelantikan Perdana Menteri adalah atas kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Zahid berkata demikian susulan Muhyiddin menuduh kerajaan dan Kabinet baharu tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat yang tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.
“Muhyiddin perlu menghormati segala pelantikan ini dan tindakan Muhyiddin dan sekutunya yang cuba mempertikaikan segala pelantikan ini adalah gambaran wajah sebenar Muhyiddin dan sekutunya yang tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
“Muhyiddin dan sekutunya perlu berasa malu dilihat terlalu gilakan kuasa hingga sanggup mempertikaikan keputusan institusi Raja-Raja Melayu dan perlu mencontohi parti DAP yang lebih mementingkan kepentingan negara daripada kepentingan parti dan individu, bergerak ke hadapan demi menjayakan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Muhyiddin dan sekutu perlu belajar menjadi pembangkang yang berwibawa dan bukannya merengek serta meroyan tidak dapat menerima hakikat beliau gagal menjadi Perdana Menteri dan gagal membentuk kerajaan,” kata Zahid dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sekali lagi Zahid mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan bukanlah kerajaan PH dan adalah hasil gabungan parti terbesar dan parti-parti kecil lain yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bekerjasama dengan parti-parti lain.
Zahid dalam kenyataan sama turut mengulas faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan adalah kerana beliau pernah menguruskan kewangan dan ekonomi Malaysia yang pernah surplus budget, iaitu pendapatan melebihi perbelanjaan negara.
“Anwar juga pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik dunia oleh ‘Euro Money Magazine’ dan Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh ‘Asia Money Magazine’.
“Anwar juga pernah mendapat ‘The Asian of The Year’ dan Malaysia mendapat gelaran ‘The Asian Tiger’ kalangan negara Asia ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan.
“Sudah pasti pelabur asing lebih yakin untuk membuat pelaburan apabila Anwar memegang jawatan menteri kewangan. Rekod ini tidak pernah dicapai oleh Mahiaddin dan Mahiaddin sangat bermasalah mengurus negara dan dikenali sebagai kerajaan gagal,” ujar Zahid.
Tambah Zahid, Muhyiddin berdepan dengan pelbagai skandal dalam pengurusan negara ketika beliau menjadi perdana menteri dan kerana itu beliau sangat ketakutan dan terdesak untuk menjadi perdana menteri hingga sanggup melanggar adat dan adab membuat kritikan terhadap Istana Negara sejak awal proses menamakan Perdana Menteri.