DOHA: Penganjuran Piala Dunia FIFA Qatar 2022 telah melakar satu kejayaan selain mencapai tahap kecemerlangan tertinggi mencakupi segenap aspek dan dalam sejarah penganjuran Piala Dunia, kata Setiausaha Agung Jawatankuasa Tertinggi bagi Penyampaian dan Legasi (SC), Hassan Al Thawadi.
Beliau berkata, edisi Piala Dunia ke-22 mempamerkan usaha Qatar yang mengagumkan terutama berjaya menghimpukan pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza budaya dan agama dari seluruh dunia selain menyampaikan mesej keamanan melalui sukan, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Al Thawadi berkata, kejohanan itu juga mencerminkan imej terbilang rantau ini dan keupayaan besar Qatar dalam menjayakan sebarang acara sukan.
Beliau berkata, Piala Dunia tahun ini satu daripada edisi Piala Dunia terbaik dari segi kehadiran peminat di dalam dan di luar stadium. – BERNAMA