HomeBeritaPM turun lawat mangsa banjir, satu tamparan kepada MB Terengganu

PM turun lawat mangsa banjir, satu tamparan kepada MB Terengganu

CYBERJAYA: Tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pergi ke luar negara sejak Ahad lalu ketika rakyat negerinya sedang menghadapi bencana banjir adalah tidak wajar.

Pensyarah Kanan Sains Politik dari Fakulti Sain Pentadbiran dan Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, situasi dan fenomena banjir itu memang sudah dijangkakan beberapa bulan lagi sebelum ini.

Menurutnya, fenomena banjir yang kritikal itu memberikan implikasi kepada puluhan ribu rakyat terutama sekali di beberapa buah negeri di Pantai Timur seperti di Kelantan dan Terengganu.

Dr Ariff Aizuddin Azlan.

“Apa yang kita boleh katakan, di saat negara sedang mengalami bencana dan juga fenomena yang tidak diingini ini, saya fikir ini bukanlah sesuatu yang wajar untuk dilakukan iaitu pergi bercuti.

“Kerana bagi saya, konteks ini, beliau sebagai ketua eksekutif di peringkat negeri lebih-lebih lagi beliau adalah ketua kerajaan di peringkat negeri itu.

“Bagi saya, beliau perlulah kekal berada di dalam negeri beliau, kerana, kalau kita lihat, walaubagaimanapun apa yang berlaku semalam, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan lawatan ke Kelantan.

“Bagi saya ini adalah satu tamparan yang hebat kepada Ahmad Samsuri, kerana, kalau kita lihat, walaupun Anwar bukanlah ketua kerajaan di peringkat negeri, namun beliau sanggup untuk meredah dan turun meluangkan masa,” katanya kepada MEDIA VARIASI pada Khamis.

Untuk rekod, dakwaan bahawa Ahmad Samsuri telah bercuti ke luar negara itu telah tular dengan beberapa tangkap layar tiket penerbangan beliau ke Auckland, New Zealand dikongsikan dan ditularkan hampir di semua platform media sosial.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat kemudiannya mengesahkan Ahmad Samsuri akan pulang dari New Zealand pada Rabu dan menjamin ketiadaan beliau tidak menimbulkan persoalan kerana semua urusan banjir negeri terkawal.

Sementara itu, Anwar dilaporkan telah turun di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pasir Mas, Kelantan bagi meninjau keadaan mangsa banjir di negeri itu pada Rabu.

Ariff ketika dihubungi MEDIA VARIASI untuk mengulas isu tersebut turut mengetengahkan bahawa Anwar bukan setakat turun meninjau keadaan mangsa banjir, malah mengumumkan berkenaan pemberian bantuan.

“Bukan setakat itu sahaja, malah, sewaktu sidang media beliau di Kelantan semalam, beliau juga mengumumkan beberapa jenis bantuan secara terus untuk diberikan kepada mereka yang terkesan dengan banjir.

“Jadi saya fikir, ini bukanlah sesuatu yang wajar untuk dilakukan terutama sekali oleh seorang menteri besar, kerana kalau kita lihat di saat ini, memang apa yang rakyat tempatan ingin lihat adalah sejauh manakah mereka boleh terlibat untuk berhubung bersama dengan rakyat terkesan.

“Kerana itu adalah anggapan, jangkaan, keinginan yang ingin dilihat rakyat pada waktu itu ini,” ujar Ariff lagi.

Berita berkaitan: MB Terengganu sepatutnya berada di negeri semasa rakyat dilanda musibah [VIDEO]

Author

Pilihan Editor