HomeBeritaPM ucap selamat maju jaya kepada peserta Kejohanan Debat Universiti Dunia

PM ucap selamat maju jaya kepada peserta Kejohanan Debat Universiti Dunia

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada mahasiswa yang akan menyertai Kejohanan Debat Universiti Dunia mewakili Malaysia di Madrid, Sepanyol.

Ucapan beliau itu disampaikannya menerusi kenyataannya di media sosialnya pada Ahad.

“Selamat maju jaya saya ucapkan kepada anak-anak mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang akan menyertai World Universities Debating Championship (WUDC) bermula 27 Disember 2022 sehingga 4 Januari 2023 di Universidad Rey Juan Carlos, Madrid, Sepanyol,” ujarnya.

Menurutnya, beliau turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada mahasiswa tersebut bagi membantu pergerakan dan aktiviti mereka sepanjang berada di Madrid.

Sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi sebelum mereka berlepas pada Sabtu malam.

Farhan bersama-sama dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengiringi pelepasan kontinjen pendebat itu.

“Saya turut difahamkan anak-anak mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM) akan turut mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

“Saya mendoakan agar anak-anak ini berjaya harumkan nama negara di bumi Sepanyol, Insya-Allah,” kata Anwar lagi.

Author

Pilihan Editor