KUANTAN: Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Tong Gas’ yang aktif mencuri tong gas petroleum cecair (LPG) di premis perniagaan sekitar bandar raya ini dengan penahanan dua lelaki tempatan, Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia 27 dan 32 tahun ditahan di hadapan Bangunan Tabung Haji, Jalan Bukit Ubi, di sini.
“Pada operasi jam 2.30 pagi itu, polis menahan sebuah kereta dinaiki dua suspek dan menjumpai empat tong gas di tempat duduk belakang dan empat lagi di tempat letak barang selain sebatang pemutar skru.
“Tangkapan itu kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Bangladesh dan rampasan 42 buah tong gas di sebuah stor di kawasan perindustrian Semambu di sini pada Selasa lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan lanjut, warga asing berusia 32 tahun itu dan mempunyai dokumen diri yang lengkap itu dipercayai membeli tong gas yang dicuri dua suspek terbabit sebelum menjualnya secara haram.
“Modus operandi geng tong gas ini ialah memecah masuk premis perniagaan antara jam 2 pagi hingga 5 pagi untuk mencuri satu atau dua tong gas dari kedai makan, kedai runcit dan medan selera dengan jumlah paling banyak dilarikan ialah 14 buah tong dari kedai dobi layan diri,” katanya.
Geng itu dipercayai menyasarkan premis perniagaan di sekitar Permatang Badak, Kemunting, Indera Mahkota, Air Putih dan Jalan Beserah, selain polis juga tidak menolak kemungkinan masih terdapat anggota kumpulan itu yang masih bebas.
Pemeriksaan awal juga mendapati dua suspek itu mempunyai rekod kesalahan jenayah serta dadah, dan semua suspek kini direman sehingga esok.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah atau premis dan mencuri serta Seksyen 411 kanun sama kerana menyimpan harta curi. – BERNAMA