CYBERJAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyarankan pengguna supaya menjauhi para peniaga yang dirasakan mengenakan harga terlalu tinggi berbanding harga purata peniaga-peniaga lain.
Menurutnya, tindakan itu dipercayai akan menekan peniaga berkenaan untuk menurunkan harga.
“Ia bukan boikot tetapi anda tidak perlu beli. Kita ada banyak pilihan (tawaran harga yang lebih rendah).
“Bercakap mengenai makanan dan minuman, kita tengok pecahan inflasi yang betul-betul mendorong inflasi.
“Sementara kementerian-kementerian terbabit mengusahakan langkah-langkah jangka sederhana dan jangka panjang di sebelah bekalan, saya juga memilih untuk memperbaiki keanjalan saling kait harga dan bekalan dalam usaha menangani inflasi,” katanya dalam sidang media yang turut disiarkan menerusi Facebook rasminya hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman Penerbitan Harga IHP November, pada Jumaat.
Tambah beliau, salah satu kategori perbelanjaan yang mempengaruhi inflasi adalah harga barangan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu kumpulan perbelanjaan yang paling besar bagi isi rumah.
Sebagai solusi, Rafizi memilih untuk memperbaiki keanjalan saling kait harga dan bekalan dalam usaha menangani inflasi, sementara kementerian-kementerian terbabit mengusahakan langkah-langkah jangka sederhana dan jangka panjang.
Jelasnya, Kementerian Ekonomi akan turut memberi tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawaban harga berpatutan dengan membangunkan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan.
Beliau berharap ekosistem itu dapat dibangunkan dan digerakkan oleh pengguna sendiri untuk dilancarkan dalam masa sebulan, sekali gus membantu penambahan keanjalan di sebelah permintaan, sebagai satu inisiatif mengawal inflasi pada masa akan datang.