PUTRAJAYA: Pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Ramesh Rao mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad punca orang ramai benci Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
Beliau turut menasihati rakan-rakan politik lain mengubah pandangan kerana kebencian lama ditanam berpunca dari Mahathir.
“Mahathirlah yang menghasut kami untuk membenci Anwar dan DAP.
“Tapi hari ini, apabila kebenaran terbongkar, sebagai manusia saya harus memohon maaf kepada Anwar. I’m sorry, sir, ” katanya dalam video yang disiarkan di saluran Youtube Minda Prihatin.
Ramesh membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Anwar ke atas segala “keterlanjuran kata-kata dan kebiadabannya” terhadap perdana menteri itu.
Ramesh merupakan pemimpin NGO pro-BN yang lantang mengkritik Anwar pada masa lalu.
Semalam, dia mula menjalankan tugas sebagai pegawai khas Zahid untuk hal ehwal masyarakat India.
“Setelah meneliti hala tuju kerajaan perpaduan ini, saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana keterlanjuran kata-kata dan kebiadaban saya terhadapnya pada masa lalu.
“Saya langsung tak terfikir kebijaksanaan Anwar dalam bagaimana dia nak bina semula negara ini. Saya memang cukup terharu melihat perancangan yang dia telah sediakan untuk Malaysia.
“Terbukti sejak dia menjadi perdana menteri, ringgit semakin kukuh, pelabur mula masuk, dunia memuji Anwar Ibrahim,” katanya.
Ramesh malah menyifatkan Anwar sebagai “anugerah tuhan” dan berkata negara kerugian kerana dia tidak menjadi perdana menteri lebih awal.
Dia turut menggesa rakan-rakannya yang lain yang sebelum ini menentang Anwar agar mengubah pendirian mereka, serta menyalahkan Mahathir atas “kebencian” mereka terhadap Anwar dan DAP.
Ramesh mula mendapat perhatian ketika pentadbiran Najib Razak sebagai pemimpin NGO Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) yang sering mmembuat aporan polis terhadap pengkritik kerajaan.
Dia juga terlibat mendakwa Anwar melakukan liwat pada 2020, apabila mengaku telah memujuk individu yang didakwa menjadi mangsa untuk membuat akuan berkanun (SD) berkenaan dakwaan itu.
Dia juga menganjurkan sidang media untuk balu kepada penyiasat persendirian P Balasubramaniam, A Santamil Selvi untuk memohon maaf kepada Najib dan isterinya, Rosmah Mansor.