HomeMV+PendapatSiapa 'upah' RPK serang Anwar, Zahid?

Siapa ‘upah’ RPK serang Anwar, Zahid?

SEBAGAIMANA semua tahu ada segolongan penulis diberi upah khusus untuk menjatuhkan orang lain.

Dan antara yang dikaitkan dengan ‘tugas-tugas khas’ ini yang paling terkenal adalah penulis blog, Raja Petra Kamaruddin (RPK) di mana pelbagai individu pernah disentuhnya.

Ia termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan hampir semua nama pemimpin terkenal.

Jika nama anda pernah disebut, diratib, ditulis oleh RPK ini syukurlah kerana ini bermakna anda sudah cukup popular di Malaysia, menjadi ancaman seseorang sehingga mereka sanggup membayar sejumlah wang yang banyak mungkin puluhan ribu untuk menjatuhkan anda.

Malah perkara ini pernah didedahkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika perbicaraan SRC yang memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengarahkan RPK supaya melakukan serangan peribadi terhadap beliau dan anak lelakinya.

Malah mantan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pernah meminta media bertanya RPK mengenai kesahihan perjanjian didakwa antara mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin yang dibocorkan oleh RPK.

Menurut dokumen dibocorkan itu, mantan perdana menteri didakwa bersetuju untuk menyegerakan kes Najib dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah jenayah.

Benar atau salah itu perkara nombor dua yang perlu dibuktikan di mahkamah.

Zahid sendiri pernah mempertimbangkan untuk mengemukakan saman malu terhadap RPK yang mengaitkan beliau dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Tegas Zahid, sebelum melakukan tuduhan, RPK sepatutnya menyertakan bukti atau dokumen dan jika tidak berbuat demikian, beliau akan mengemukakan saman.

Namun tindakan ini sukar dilakukan kerana RPK berada di luar negara dan tidak akan jejak kakinya di Tanah Melayu ibarat satu sumpahan jika beliau jejak maka bala akan menimpanya, musuhnya ramai.

Semalam, RPK menulis di Twitter bahawa kertas pertuduhan berkaitan kes rasuah
RM67 juta Zahid melibatkan projek LCS sudah siap.

Tulisnya lagi bagaimanapun, SPRM telah diarahkan untuk menggugurkan kes dan menandakan fail No Further Action (NFA). Ini ialah tindakan pertama Anwar sebagai perdana menteri.

Beberapa persoalan yang timbul di sini.

Pertamanya NFA hanya boleh ditentukan oleh Pejabat Peguam Negara dan sebagaimana yang dibangkitkan sebelum ini barisan AG adalah lantikan era Mahathir.

NFA ini biasanya diputuskan kerana tiada bukti atau keterangan yang boleh dijadikan asas untuk tindakan pendakwaan seterusnya.

Dan jika tidak berpuas hati dengan keputusan ini, pihak pengadu boleh mengambil tindakan terhadap pegawai penyiasat di Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa di Putrajaya.

Keterangan dan bukti pengadu akan diambil serta siasatan akan dibuat walaupun terhadap pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia, penguat kuasa agama ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan gantung kerja, gantung gaji, gantung pencen dan sebagainya jika didapati melanggar skop atau prosidur kerja yang ditetapkan.

Begitulah indahnya undang-undang Malaysia di mana semua orang walaupun macai politik atau Yes Man tidak akan terlepas tetap akan dihukum di dunia sebelum tiba ke dunia akhirat.

Berbalik kepada isu yang dibangkitkan RPK tadi, apabila beliau mendakwa kes LCS ini adalah NFA, ia juga bermakna seseorang telah memberinya maklumat kerana tiada berita mengenainya dilaporkan di Malaysia

Sama ada dari pihak penguat kuasa, AG atau SPRM yang diterajui Tan Sri Azam Baki.

Siapakah yang memberikan maklumat dari Tanah Melayu ini sehingga tiba ke Tanah Inggeris? Siapakah yang mengupah RPK untuk menyerang Anwar dan Ahmad Zahid?

Mungkin sudah tiba masanya satu undang-undang dibentuk untuk menjaga keharmonian negara ini daripada pihak yang cuba menggangu gugat dengan maklumat palsu walaupun individu itu berada di luar negara.

 

Author

Pilihan Editor