SELAYANG: Ikon permotoran, Haqiem Stopa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya dalam dua telefon bimbit, minggu lalu.
Tertuduh atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, didakwa menyimpan gambar dan video lucah gadis berusia 21 tahun itu dalam galeri telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus miliknya.
Haqiem Stopa didakwa melakukan perbuatan terbabit kira-kira pukul 4.30 petang pada 9 Disember lalu di sebuah rumah di Rawang, lapor Utusan pada Rabu.
Pertuduhan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret, Nur Hafizah Rajuni membenarkan pemuda yang dilabel sebagai ikon permotoran itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan pada 23 Februari depan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak yang mewakili Muhammad Sadzri memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia bekerja sebagai pencipta kandungan dan perlu menanggung ibu bapa yang uzur.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) itu berkata, tertuduh akan dijamin oleh kakaknya.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang pemuda yang juga ikon permotoran kerana disyaki mengugut menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir yang turut memaklumkan bahawa suspek direman empat hari hingga semalam bagi membantu siasatan.