TAKTIK halus Tun Dr Mahathir Mohamad yang rakyat tidak tahu, tidak sedar dan tertipu selama ini sebenarnya telah berlaku sejak beliau masuk UMNO tahun 1987.
Untuk rekod, krisis UMNO paling dahsyat berlaku pada 1987, apabila Tun M dan Tun Musa Hitam menyertai semula UMNO semasa pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein.
Kedua mereka sebelum itu dipecat dalam UMNO semasa Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi Presiden UMNO.
Hal ini kerana mereka berdua lantang mengkritik Tunku ketika itu apabila UMNO mengalami kemerosotan sokongan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ketika itu.
Dalam satu video selama kira-kira dua minit yang disiarkan kembali Utusan Malaysia pada tahun 2017, Tunku menceritakan, surat yang ditulis Mahathir pada pertengahan 1969 itu menyebabkan bapa kemerdekaan itu dibenci oleh orang Melayu.
Malah, Tunku turut menceritakan, Mahathir menyalahkannya ekoran rusuhan perkauman 13 Mei yang berlaku pada tahun berkenaan.
“Saya ini dibenci oleh semua orang Melayu, dibenci oleh pegawai-pegawai kerajaan, dibenci oleh askar Melayu, dibenci oleh polis dan sebagainya.
“Di sini nampaknya caranya, tujuannya nak bagi orang semua-semua benci kepada saya. Buang saya dan ubahkan pemerintahan Malaya ini.
“Dia (Mahathir) kata saya ini pro-Cina, saya berjuang begitu lama, begitu susah, dan begitu payah, susah-payah, adakah dengan untuk mengangkatkan Cina?
“Dia kata saya pro-Cina, saya buat itu bagi Cina, macam-macamlah dia kata. Jadi ditunjuk di situ khianatnya,” kata Tunku dalam temubual berkenaan.
Berbalik kepada catatan analisis pemikiran Tun M dalam strateginya menjatuhkan musuh-musuh politiknya sebenarnya amat menakutkan.
Mantan Pengerusi Pejuang itu bersifat kuku besi, mengawal, beliau hanya percaya dirinya sahaja dan apa yang dilakukannya adalah paling betul serta tidak suka sesiapa menentangnya.
Apa sahaja yang terpacul di mulutnya, seolah yang benar tanpa ada salahnya sehingga rakyat terus mempercayai sebagai yang paling tahu jenayah semua pemimpin yang menentangnya.
Kuasa Raja-raja dikurangkan ketika beliau sebagai Perdana Menteri keempat, malah pernah berusaha untuk menghapuskan ketuanan Melayu.
Tidak hairanlah proksi-proksinya kebanyakannya taikun perniagaan bukan Melayu seperti Vincent Tan, Robert Kuok dan lain-lain.
Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah contoh orang yang pernah menentangnya dan diheret keluar masuk penjara selama 20 tahun.
Beliau menggunakan taktik pendoktrinan yang boleh meracuni pemikiran rakyat dan rakyat boleh menerima dan percaya dengan kata-katanya.
Rakyat didoktrin bahawa Anwar adalah penjenayah seks songsang dan masih ada yang percaya sehingga ke hari ini.
Beliau juga berjaya menanam kebencian rakyat terhadap Datuk Seri Najib Razak sejak tahun 2016 diulang-ulang perkataan perompak, penyangak dan penyamun ke atas mantan Perdana Menteri itu.
Menurut beberapa fakta yang didedahkan di mahkamah, Tun M dikatakan orang yang bertanggungjawab merancang strategi untuk menjatuhkan Najib dengan kes 1Development Malaysia Berhad (1MDB).
Strategi ini berjaya dengan Najib juga dipenjarakan dan sehingga hari ini rakyat masih menerima bahawa beliau perompak, penyangak dan penyamun.
Namun, Tun Mahathir seperti kacang lupakan kulit apabila tergamak terlibat dalam perancangan memenjarakan Najib sedangkan ketika dipecat keahlian UMNO pada 1969, beliau sendiri diambil semula oleh bapa mantan Ahli Parlimen Pekan itu, Tun Abdul Razak selepas sehingga dilantik menteri penuh malah digelar anak emas Tun.
Perkara itu diketahui umum apabila anaknya, Datuk Seri Mukhriz sendiri mendedahkan Tun Mahathir merancang menjatuhkan Najib bermula 2014, dalam keterangannya dalam kes saman fitnah Mukhriz terhadap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, di Mahkamah Tinggi, pada 2017.
Pada PRU15, walaupun hilang wang deposit kerana kalah teruk di Parlimen Langkawi, kawasan tradisinya namun beliau berjaya memastikan pendoktrinan bahawa UMNO itu parti penyamun sehingga parti keramat itu juga kalah teruk.
Taktik yang sama nampaknya sedang dilakukannya terhadap Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau nampaknya belum puas hati kerana pendoktrinan sebelum ini kurang berhasil, kerana Zahid terus diangkat ke posisi TPM dalam Kerajaan Perpaduan.
Tun M dalam hantaran dimuat naik di Facebooknya, menulis, membangkitkan isu pelantikan Presiden UMNO berkenaan terlibat dengan pertuduhan 47 pertuduhan dana Yayasan Akalbudi di mahkamah namun dilantik sebagai TPM.
Dalam hantaran yang sama, Tun Mahathir turut menyentuh tentang Perkara 33A Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa ‘jika Yang di-Pertuan Agong dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV dia hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong’.
Tun Mahathir juga dengan sifatnya mengelirukan rakyat dengan mendoktrin lagi tulisannya itu apabila membabitkan peruntukan khas berkenaan bagi menyerang musuh politik dalam agendanya.
Bagaimanapun, Anwar tidak mudah terkesan dengan taktik dan strategi Tun Mahathir, oleh sebab itu beliau melantik Zahid menjadi sebahagian pemimpin nombor dua dalam negara di sisinya.
Sangat licik taktiknya, yang ramai tidak sedar bagaimana anak dan cucu Tun M boleh jadi kaya raya bernilai billion ringgit.
Malah sumber terdekat Pejuang turut mendedahkan anaknya Mukhriz ketika ini sudah ‘bosan’ berada dalam kawalan bapanya sehingga dikatakan sanggup memilih Pakatan Harapan (PH) berbanding setia bersama ‘Daddy’.
Seramai 13 Majlis Tertinggi Pejuang turut keluar dari parti berkenaan.
Mungkin meroyan melihat anak emasnya sudah bertentang arus, yang menyebabkan serangan demi serangan dihalakan kepada Zahid.
Bagaimanapun, apa untungnya kepada rakyat? Apa untungnya kepada negara?
Ketika ini rakyat tidak mampu membezakan antara dakyah politik Tun M dan kebenaran kerana pendoktrinan yang sudah wujud sejak 53 tahun lalu.
Tun M tidak pernah kongsi solusi atau formula untuk membantu rakyat keluar dari kemiskinan, fokusnya hanyalah melakukan provokasi untuk membenamkan musuh.
*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI