KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di Jalan Batang-Kali-Genting Highlands memasuki hari kedua dengan 24 nyawa terkorban dan sembilan mangsa masih hilang, setakat 6 petang ini.
Runtuhan tanah yang tebal, berlumpur dan berbatu serta aliran air menyukarkan operasi SAR mangsa yang belum ditemukan daripada keseluruhan 94 mangsa dalam tragedi di tapak perkhemahan itu, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis.
Katanya, operasi pada hari ini diteruskan selama 24 jam namun akan ditangguhkan sekiranya berlaku hujan lebat atas faktor keselamatan pasukan SAR dan beliau tidak menolak kemungkinan masih ada mangsa yang terselamat sekiranya berpaut pada timbunan batu atau pokok.
Norazam berkata setakat ini, beberapa mangsa yang ditemukan tertimbus dengan kedalaman tanah antara tiga hingga lima kaki (0.91 hingga 1.52 meter), selain ada yang ditemukan dengan bahagian badan yang kelihatan di permukaan tanah.
Katanya operasi SAR hari ini melibatkan 135 anggota daripada pelbagai agensi selain menggunakan khidmat tujuh anjing pengesan serta jentera berat untuk mencari mangsa tertimbus.
Menurut kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), enam mangsa yang ditemukan meninggal dunia telah dikenal pasti dengan pengecaman oleh waris atau menerusi ujian cap jari manakala proses bedah siasat dan pengecaman mayat yang lain masih dijalankan, setakat 7 pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pula dilaporkan berkata, pengusaha tapak perkhemahan telah dipanggil hari ini untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor namun pihaknya kini menumpukan kepada operasi SAR.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad pula dilaporkan berkata, hasil siasatan mengenai kejadian tanah runtuh yang akan diperoleh dalam masa terdekat akan dibawa ke Kabinet untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu sembilan kaunselor Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi memberi sokongan psikososial kepada waris mangsa insiden itu, menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Dalam insiden 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya.
Operasi SAR hari kedua bermula pada 8 pagi ini selepas ditangguh tengah malam tadi susulan hujan lebat. – BERNAMA