BATANG KALI: Polis mengesahkan jumlah rasmi dan sebenar kesemua mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat sini adalah seramai 92, dan bukannya 94 orang sebagaimana yang diumumkan sebelum ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah baharu itu diperoleh setelah perkiraan dan semakan semula dibuat beberapa kali, berdasarkan maklumat dan laporan yang diterima dari pelbagai pihak termasuk ahli keluarga.
“Ini adalah jumlah rasmi, kecuali ada mana-mana pihak lagi yang datang mengatakan bahawa ada lagi ahli keluarga yang hilang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Dengan perkembangan terbaharu itu, beliau berkata, ia menjadikan jumlah terkini mangsa yang meninggal dunia seramai 30 orang, selamat (61 orang) dan yang belum dijumpai seorang.
Arjunaidi berkata sebelum ini pihaknya menggunakan angka 94 orang meliputi orang yang hilang, selamat dan meninggal dunia, yang diperoleh berdasarkan data mereka yang berdaftar di pusat perkhemahan berkenaan.
Menurutnya kekeliruan timbul disebabkan terdapat pertindihan data dan perkara itu diketahui pihaknya beberapa hari lepas.
“Kita tak tergesa-gesa umum sebab kita perlu membuat semakan daripada segi data-data dan laporan yang kita ada. Semua ini kita laksanakan dan berpuas hati setakat ini jumlah rasmi mangsa adalah 92, dan bukannya 94,” katanya.
Arjunaidi berkata identiti seorang lagi mangsa yang masih hilang setakat ini adalah seorang kanak-kanak lelaki namun belum dapat dikenal pasti lingkungan umur, dan operasi mencari dan menyelamat mangsa akan dijalankan sehingga kanak-kanak itu ditemukan atau setelah menerima pihaknya menerima arahan tertentu.
Mengenai operasi hari ketujuh hari ini yang ditangguhkan sementara sejak petang tadi berikutan hujan lebat, katanya ia dibuat atas faktor keselamatan.
“Kita tangguh sehingga keadaan selamat untuk menyambung operasi. Sekarang suasana (cuaca) hujan lebat dan pihak geologi terpaksa mengkaji semula dari segi pergerakan dan sebagainya. Kita fikirkan faktor keselamatan,” katanya. – BERNAMA