BATANG KALI: Operasi hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang belum ditemukan dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya di sini akan diteruskan hingga 4 pagi esok.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Suffian Abdullah berkata bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan cuaca sebelum operasi SAR seterusnya disambung semula pada 9 pagi.
“Operasi SAR sembilan lagi mangsa tanah runtuh itu tetap akan diteruskan walaupun keadaan cuaca hujan dan persekitaran yang mencabar,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian malam ini.
Beliau berkata, operasi itu disertai lima agensi utama antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang memiliki kepakaran menguruskan bencana terutama pada waktu malam.
Katanya beliau yakin dengan kepakaran dan kerja keras semua agensi yang terlibat malam ini, lebih ramai mangsa dijangka ditemukan esok pagi.
Timbalan Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail pula berkata, seramai 135 anggota akan bertugas malam ini hingga pagi esok.
“Dari segi penugasan anggota, kita akan buat penggantian supaya perjalanan operasi tidak terjejas dan semua anggota yang masuk ke kawasan pencarian dipastikan berada dalam keadaan bersedia,” katanya.
Setakat 9 malam ini, sembilan mangsa masih hilang manakala 24 lagi disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi itu.
Tinjauan Bernama malam ini mendapati hujan renyai di lokasi kejadian tidak menghalang anggota keselamatan menjalankan tugas.
Selain itu, puluhan pengamal media masih berkampung di situ bagi melaporkan perkembangan terkini operasi SAR mangsa. – BERNAMA