BATANG KALI: Setelah beberapa hari kelibatnya tidak kelihatan di lokasi insiden tanah runtuh sini kerana kurang sihat, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis hari ini ‘muncul’ semula di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Kehadirannya dalam hujan lebat dan tanpa uniform celoreng bomba itu mencuri tumpuan pengamal media dan anggota keselamatan yang mengambil kesempatan bertanyakan khabar dan mendoakan kesembuhan ‘orang kuat’ pasukan bomba itu.
Norazam berkata, kedatangannya hari ini adalah untuk memberikan semangat kepada anak buahnya yang bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta menyatakan komitmen dan usaha pasukan keselamatan untuk sedaya upaya mencari tiga mangsa yang masih hilang.
“Alhamdulillah saya sihat dan selepas ini saya akan buat juga rawatan susulan, terima kasih kepada semua yang bertanyakan khabar dan saya ucap terima kasih atas sokongan semua dan memberikan semangat kepada kami juga,” katanya kepada media.
Beliau yang terlibat dalam operasi itu sejak hari pertama, dikejarkan ke Hospital Selayang pada Isnin akibat keletihan dan strok ringan.
Norazam, yang terkenal dalam kalangan pengamal media dengan sifat ramah dan sabar melayan pertanyaan media tanpa mengira masa, merupakan antara individu paling sibuk di lokasi kejadian dan hampir setiap hari memberikan perkembangan terkini.
Operasi SAR hari ini yang memasuki hari ketujuh menemukan empat lagi mayat menjadikan jumlah korban tragedi itu seramai 30 orang dan setakat ini, tiga mangsa masih hilang manakala 61 terselamat daripada keseluruhan 94 yang dilaporkan terlibat. – BERNAMA