HomeBeritaTerpaksa ikat perut demi kelangsungan hidup Ridzki

Terpaksa ikat perut demi kelangsungan hidup Ridzki

 

CYBERJAYA: Tatkala anak-anak gembira menyambut musim cuti persekolahan, masih ada ibu bapa yang merintih kerana bimbang akan kesihatan anak mereka.

Itulah yang dialami sepasang suami isteri, Norsalma dan Ridhwan apabila cahaya mata pertama mereka disahkan menghidap penyakit usus sejak lahir lagi.

Anak kecil berusia tujuh bulan itu diberi nama Ridzki mengalami masalah tidak dapat membuang air besar melalui saluran dubur sehingga doktor terpaksa keluarkan ususnya yang kecil di luar perut dan disambungkan dengan bag stoma untuk tujuan membuang najis serta memantau keadaan kesihatannya.

Lebih memilukan apabila Norsalma juga tidak dapat menyusukan anak pertamanya itu dengan susu badan kerana Ridzki hanya boleh diberikan susu khas melalui tiub yang disambungkan terus ke dalam perut.

Malahan, kos pembelian susu yang tinggi sukar untuk ditanggung mereka sekeluarga memandangkan si bapa hanya bekerja sebagai pembantu stor.

Perkara itu membuatkan mereka berdua tekad mengikat perut demi memberikan yang terbaik untuk Ridzki.

Keadaan bayi Ridzki mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang secara pantasnya mengambil inisiatif untuk membantu keluarga berkenaan.

“Kisah bayi Ridzki ini telah sampai kepada Zakat Selangor dan hari ini, Operasi daerah Petaling datang menziarahi keluarga ini dengan membawa amanah yang diberikan para pengeluar zakat.

“Bertemu dengan keluarga ini membuat hati kami sayu melihat kecekalan bayi Ridzki menghadapi masalah kesihatannya.

“Antara berita gembira yang kami dengar daripada mereka bahawa pihak hospital bercadang untuk jalankan pembedahan untuk masukkan semula usus ke dalam perut bayi Ridzki tahun depan. Alhamdulillah berkat penjagaan yang rapi, segala kesusahan bakal berakhir hendaknya. InshaAllah,” maklum LZS dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu, LZS turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pengeluar zakat yang membolehkan bantuan dihulur kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti bayi Ridzki.

“Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka. Anda semua hero asnaf,” maklumnya.

Author

Pilihan Editor