KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dan membantu nasib mereka yang akan kehilangan tempat tinggal.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Bertindak Penduduk Kampung Sungai Baru, Johari Zakaria memaklumkan bahawa baru-baru ini mereka menerima notis pengusiran untuk mengosongkan rumah-rumah terlibat dalam masa 30 hari dari hari penerimaan notis borang A.
Menurutnya, notis yang diterima penduduk pada 19 Disember itu adalah daripada Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Sedangkan wang pampasan yang tidak setimpal diterima penduduk baru seminggu yang lepas, ini adalah satu tindakan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Dalam masa 30 hari, bagaimana penduduk-penduduk terbabit hendak menyewa dan membeli rumah sedangkan rumah baharu yang telah siap pun mengambil masa tiga tahun untuk siap.
“Ada juga di antara penduduk yang tidak menerima wang pampasan, telah menerima borang K, dan ada juga penduduk-penduduk yang telah menerima wang pampasan, apabila nak ditunaikan di Pejabat Amanah Raya wang tersebut didapati tiada, ini adalah perkara yang tidak masuk akal sama sekali,” kata Johari sidang media pada Isnin.
Dalam sidang media yang diadakan di Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru itu, Johari berkata, beliau menerima jawapan yang amat mendukacitakan apabila mengadukan perkara ini kepada agensi terbabit.
Johari telah merayu kepada mereka agar notis tersebut dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya enam bulan untuk memudahkan penduduk membuat persediaan awal dari segi perpindahan dan juga perkara-perkara yang berkaitan.
Namun, alasan yang diberikan oleh pegawai berkenaan adalah perkara yang sama didengarinya sebelum ini iaitu arahan daripada pihak atasan.
“Dengan ini, saya dan juga penduduk-penduduk merayu dan menyeru kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kita ketahui seorang yang berjiwa besar, berjiwa rakyat dan sangat prihatin akan nasib rakyat.
“Maka kami juga memohon pertimbangan dan kelulusan agar akta pengambilan tanah ini dikaji semula dan penyemakan kembali terhadap pemilik teres dan flat terkesan dengan akta ini,” kata Johari yang menyifatkan akta pengambilan tanah itu sebagai sangat zalim.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang hadir memimpin sidang media itu berkata, tidak ada masalah kalau Perdana Menteri menangguhkan atau membatalkan notis itu.
Hal ini adalah kerana notis itu adalah daripada Jabatan Kerajaan di bawah Perdana Menteri dan bukanlah daripada mahkamah.
“Saya bagi pihak penduduk Kampung Sungai Baru merayu kepada Perdana Menteri untuk membatalkan atau pun menangguhkan dahulu, dan buat satu perjumpaan dengan pemilik-pemilik di sini sendiri.
“Jangan dengar cakap mana-mana pihak yang lain sama ada Ahli Parlimen, pemaju atau wakil-wakil yang tidak rasmi dan sebagainya,” ujar Khalid.
Berita berkaitan:Â Diberi notis pengusiran, penduduk Kampung Sungai Baru rayu Anwar bantu [VIDEO]