CYBERJAYA: Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kesemua pihak yang terlibat dalam operasi pencarian mangsa kejadian tanah runtuh di Gohtong Jaya dijalankan secara rapi dan sistematik.
Menurutnya, beliau bersama beberapa orang menteri akan turun ke lokasi kejadian hari ini.
“Saya telah mendapat maklumat daripada Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Menteri Besar Selangor terkait misi mencari dan menyelamat.
“Saya telah mengarahkan agar misi mencari dan menyelamat dijalankan secara rapi dan sistematik oleh semua jabatan kerajaan.
“Saya juga dimaklumkan Menteri-Menteri terlibat akan turun ke lokasi pada pagi ini. Namun, saya menasihatkan mereka agar tidak mengganggu kerja- kerja mencari dan menyelamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turun memohon supaya rakyat Malaysia dapat mendoakan misi pencarian mangsa dipermudahkan.
Untuk makluman, setakat jam 11 pagi ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, mengesahkan 13 mangsa dilaporkan maut dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highlands.