PUTRAJAYA: Sejak Ogos lalu, saintis-saintis menemui satu lagi varian terbaharu COVID-19 yang bermutasi menjadi lebih kebal terhadap imunisasi dinamakan BF.7
Sebagaimana dilaporkan di Mirror UK ia digelar sebagai ‘benih Omicron’ atau Omicron BF.7, pakar-pakar memberi amaran varian baharu itu merebak dengan pantas dan boleh menjadi dominan dalam masa beberapa minggu lagi.
Di Eropah, Belgium menyaksikan sebahagian besar jangkitan dengan BF.7 membentuk 25 peratus daripada kes Omicron yang dilaporkan.
Ia diikuti oleh Jerman dan Perancis masing-masing sebanyak 10 peratus, demikian menurut pusat data COVID-19 yang dikemas kini setiap hari oleh penyumbang dari universiti di Britain dan Australia.
Naib Pengerusi Perubatan bahagian integriti data dan analisis Jabatan Perubatan Universiti Johns Hopkins, Dr Stuart Ray memberitahu, sub-varian itu mempunyai perubahan dalam protein ‘spike’.
Menerusi Times of India, Pengarah Kanan Perubatan Dalaman di Gurugram, Dr Susila Kataria berkata, Omicron B7 sedang merebak pantas di China, Eropah dan beberapa negara lain.
Beliau dilaporkan berkata, semua vaksin dan dos penggalak yang diambil sebelum ini tidak mampu menghalang kehadiran Omicron B7 daripada berjangkit kepada orang ramai.
Sementara itu, Dr Roland Victor dari Klinik Sky mengingatkan orang ramai agar perlu bersiap siaga kerana kes akan naik berikutan berlaku ledakan tsunami COVID-19 di China ketika ini.
“Varian baharu, Omicron BF.7 di China dengan kes bertaburan dan kematian sangat tinggi.
“Vaksin, dos penggalak satu, dua, tiga yang dibekalkan kepada rakyat tidak dapat beri perlindungan kepada sistem imunisasi.
“Ibarat polis dan pencuri, kejar virus tetapi tiada kesudahan.
“Anda tidak boleh terus menerus kejar virus dengan vaksin virus, sedangkan virus itu terus bermutasi untuk menjadi lebih kuat.
“Limpahan virus ini akan berlaku di zon kita, Asia, bermula dengan Hong Kong, Taiwan, Vietnam, Korea.
“Pergerakan manusia terlalu tinggi, Krismas, Tahun Baharu dan Raya Cina.
“Apa yang boleh dilakukan ketika ini adalah meningkatkan sistem imunisasi diri dengan cara semulajadi dari alam, ia lebih berkesan,” katanya.