PERKATAAN anjing ada disebutkan dalam al Quran, di dalam tiga surah masing-masing al-Maidah, al-Araf dan al-Kahfi.
Sebagaimana umum tahu, anjing adalah makhluk Tuhan yang tercatat dalam al Quran menemani dan menjaga penghuni Gua Ashabul Kahfi, yang diceritakan dalam surah al-Kahfi, ayat 18.
Surah Al-Kahf, ayat 18:
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا
Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
Dikategori sebagai haiwan perburuan dan terlatih, malah ada perbandingan kekurangan perilakunya yang ganas disamakan dengan manusia yang bergantung pada dunia.
Satu dunia menyukai anjing malah sangat masyhur dalam kalangan orang Arab sejak dari dahulu hingga kini, dengan mewujudkan acara perlumbaan bagi menguji ketahanan dan kemampuan anjing mereka setiap tahun.
Anjing juga dijadikan sebagai sahabat baik peliharaan manusia sama ada menemani dan melindungi tuannya daripada dihampiri bahaya.
Mengikut sejarah, Raja Iskandar yang juga dikenali sebagai Parameswara juga memiliki anjing perburuan sebelum Melaka dibuka.
Malangnya di Malaysia segelintir manusia yang mengaku beragama mengambil pendekatan segala tentang anjing adalah haram belaka, dan dijadikan perumpamaan buruk bagi penunggang agama demi kepentingan peribadi.
Walaupun mazhab Syafie menyebut anjing boleh dibela untuk tujuan keselamatan dan penjagaan harta, sehingga kini perbahasan mengenainya masih menimbulkan ketegangan.
Sehingga menurut jurnal Perbahasan Tentang Jilatan Anjing: Suatu Perhatian, usaha pihak istana, untuk mencari titik perdamaian tidak menjadi sebaliknya menyerahkan kepada masyarakat sama ada mengamalkan pendapat ulama konservatif atau mazhab Syafie.
Menerusi perkongsian TikTok, kita boleh lihat Unit Anjing Pengesan (K9) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), gigih memberi khidmat mereka bagi membantu mencari mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali.
Dentie dan Frankie antara 10 anjing pengesan K9 dilihat turut sibuk bertungkus lumus, ke hulu dan ke ke hilir menghidu lokasi mangsa sehingga mereka kepenatan dalam operasi mencari (SAR) itu.
Kepada golongan pembenci anjing, Blake antara anjing K9 terpaksa direhatkan kerana kepenatan sepanjang bertugas dengan penuh kesetiaan selepas dua hari kerja lebih masa mencari mangsa yang tertimbus dalam tragedi, sesuatu yang tak mampu manusia lakukan.
Mengimbas kembali jasa perkhidmatan anjing K9 terlatih sebelum ini, yang diangkat dan diiktiraf sehingga diberi penghormatan terakhir dengan mewujudkan K9 Memorial Park di Pahang.
Dua ekor anjing bernama Mailo (pengendalinya, Lans Koperal K Thiru) dan Barny (Lans Koperal Calvin) membantu polis dalam mengesan mayat seorang wanita yang dibunuh kejam oleh suaminya dalam kejadian di Kota Tinggi, diberi pengiktirafan Anugerah Ketua Polis Johor.
Chulio (Koperal Tony Matius Farang) dan Rocky (Lans Koperal Tan Wei Hong) menerima penghargaan atas kejayaannya mengesan orang hilang, masing-masing bagi kes di Tronoh dan Ulu Geruntum, Gopeng, Perak.
Lao Wu, dikendali Sarjan S Sanmugam, juga menerima penghargaan atas kejayaannya mengesan seorang suspek curi kenderaan yang melarikan diri sejauh lebih empat kilometer di ladang kelapa sawit di Felda Sungai Tekam, Jerantut, Pahang.
Bad, di bawah seliaan Koperal Willen anak Slamping @ Sirampin malah diberi penghormatan apabila menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 13 tahun lapan bulan bersamaan jangka hayat manusia 91 tahun, atas dua kejayaan besar dalam menumpaskan sindiket dadah pada 2012 dan 2014.
Semua ini menunjukkan penciptaan anjing sebagai makhluk Tuhan yang bukan sia-sia.
Kisah seorang pelacur dengan anjing juga tidak pernah dilupakan menurut riwayat al Bukhari bahawa;
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu.”
Terdapat juga satu imej foto klasik hitam putih seekor anjing bersama kerabat diraja iaitu, Yang Mulia Raja Kelantan (Tengku Ibrahim), Yang Mulia Tengku Chik, Dr Burhanuddin al-Helmy, YB Datuk Seri Diraja Kelantan & Nik Mahmud, Abbas Taha & Mohd Sadiqi Wan Musa, dan Wan Musa.
Imej yang dipetik dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu diambil bersempena dengan perbicaraan tentang masalah anjing pada tahun 1937.
Begitu besarnya jasa dan pengorbanan anjing bermula dari kisah Ashabul Kahfi sehingga kini dijadikan anjing pengesan dan penyelamat selain peliharaan bagi menjaga tuannya.
Sudah tentu, anjing yang terlatih berkelakuan lebih baik dan memanfaatkan derianya bagi mengesan pelbagai bau sasaran termasuk bahaya, dadah, bahan letupan dan mayat manusia.
Bagaimanapun, wira tidak didendang ini kurang mendapat perhatian masyarakat yang masih ada stigma akibat pendoktrinan yang salah.
*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI