HomeGaya Hidup10 tahun berlari keliling dunia, pensyarah kongsi pengalaman sertai 25 ‘Full Marathon’

10 tahun berlari keliling dunia, pensyarah kongsi pengalaman sertai 25 ‘Full Marathon’

BERLARI sama ada secara pecut mahupun larian jarak jauh merupakan salah satu aktiviti terbaik untuk memberi kecergasan pada tubuh badan.

Malah, ada yang menjadikan aktiviti sedemikian sebagai satu rutin harian bagi memastikan diri kekal bertenaga.

Namun, siapa sangka sesuatu yang pada mulanya hanya dilakukan secara suka-suka akhirnya berubah menjadi satu perkara yang serius dalam hidup seseorang.

Itulah yang dikongsi oleh seorang pelari tegar, Ts. Dr. Mohd Riduan Mohamad, 38, yang hampir 10 tahun aktif menyertai pelbagai acara larian jarak jauh di Malaysia mahupun luar negara.

Menurut Riduan, pada mulanya berlari hanya sekadar hobi yang mula diminati sejak zaman belajar di samping melakukan aktiviti mengembara kerana dapat melihat dunia luar.

Bermula daripada itu, Riduan yang sebelum ini menyambung pengajian pada peringkat ijazah Dr Falsafah (PhD) di United Kingdom, sedar banyak manfaat dapat diperoleh dengan aktif menyertai acara larian khususnya di luar negara.

“Setiap event larian selalunya akan memperkenalkan tempat itu sendiri. Jadi, banyak juga event larian yang saya sertai bertujuan untuk pengembaraan sekali contohnya seperti di Scotland (Loch Ness, Edinburgh, Glasgow, Inverness), England (Manchester, London), Wales (Cardiff), Malaysia (Miri, Kuching, Kota Kinabalu, Perlis dan lain-lain) serta Singapura,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Antara yang menjadi kegemaran adalah ketika menyertai acara Loch Ness Marathon yang diadakan di kawasan pergunungan Scotland

Riduan yang kini bergelar Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), turut berkongsi pengalamannya menyertai hampir 25 acara marathon.

Katanya, salah satu yang sentiasa menjadi ingatan manis adalah ketika menyertai acara Loch Ness Marathon yang diadakan di kawasan pergunungan Scotland.

“Uniknya, tempat mula larian ini diadakan di atas bukit. Peserta dibawa ke sana menaiki bas seawal pagi.

“Marathon ini menjadi tarikan ramai disebabkan pemandangan sepanjang laluan marathon sangat cantik, udara yang nyaman dan merentasi Tasik Loch Ness yang terkenal dengan mitos kemunculan raksasa besar di dalam tasik tersebut pada zaman dahulu,” katanya.

Meskipun sibuk dengan tugas hakiki selaku seorang pensyarah, Riduan akan sedaya upaya mencari waktu untuk jalani sesi latihan larian sejauh 10 kilometer (km).

Kebiasaanya sesi latihan itu dibuat selepas habis waktu kerja bagi mengekalkan stamina dan keseimbangan emosi.

“Pada hujung minggu pula, saya akan melakukan pelbagai jenis sukan sama ada larian, berbasikal atau mendaki.

“Dari segi pemakanan, saya tidak mengamalkan diet yang spesifik. Pada amnya, saya akan mengambil kira anggaran pengambilan dan pembakaran kalori setiap hari. Kaedah ini dapat mengawal berat badan saya pada tahap yang ideal.

“Walaubagaimanapun, sekiranya ada event larian jarak jauh yang ingin disertai saya akan kerap makan makanan yang mempunyai karbohidrat yang tinggi,” ujarnya.

Menjelang tahun 2023, Riduan menyatakan dia kini dalam persediaan menyertai acara ultra marathon iaitu acara larian yang melebihi jarak marathon normal (42.195km).

Kebiasaan acara ultra di Malaysia ialah 50km dan kini semakin banyak kejohanan ultra marathon terutama ‘trail’ yang menyenaraikan jarak 100km.

Menurutnya, antara acara ultra marathon yang akan disertai pada tahun ini ialah Gunung Nuang Ultra 2023 yang akan berlangsung pada 12 Februari ini dan Route 68 Ultra 2023 pada 4-5 Mac.

Dalam pada itu, anak kelahiran Tumpat, Kelantan ini turut mengingatkan individu yang ingin menyertai acara larian jarak jauh seperti Full Marathon (FM) perlu mempunyai tahap kecergasan fizikal dan mental yang tinggi.

“Mereka (pelari) perlu menjalani beberapa siri latihan secara berperingkat bermula dari jarak yang dekat seperti 5km, 10km dan Half Marathon terlebih dahulu.

“Peserta perlu bijak mengawal penggunaan tenaga sepanjang larian bagi mengelakkan kecederaan berlaku pada peringkat awal.

“Peserta juga tidak boleh memaksa badan melakukan larian melebihi had sepatutnya kerana dibimbangi boleh meragut nyawa,” pesannya.

Penyertaan dalam acara larian marathon bukan sekadar meraih pingat tetapi setiap acara itu meninggalkan pengalaman yang bermakna buat diri Riduan.

 Berikut merupakan senarai 25 Full Marathon yang disertai Riduan:

  1. Edinburgh Marathon 2014 (4:10:28)
  2. Loch Ness Marathon 2014 (3:58:44)
  3. Edinburgh Marathon 2015 (4:06:06)
  4. Loch Ness Marathon 2015 (3:50:12)
  5. Asics Greater Manchester Marathon 2016 (4:03:39)
  6. Standard Chartered KL Marathon 2017 (5:00:52)
  7. Kuching Marathon 2017 (4:37:26)
  8. Penang Bridge International Marathon 2017 (4:40:59)
  9. Miri Marathon 2018 (4:39:53)
  10. Standard Chartered KL Marathon 2018 (4:39:43)
  11. Borneo Marathon 2018 (5:24:57)
  12. Kuching Marathon 2018 (4:42:47)
  13. Standard Chartered Singapore Marathon 2018 (4:36:28)
  14. Perlis Marathon 2019 (4:39:52)
  15. Melaka Marathon 2019 (4:33:49)
  16. Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud 2019 (4:39:33)
  17. Twincity Marathon 2019 (4:39:20)
  18. KL standard Chartered Marathon 2019 (5:00:22)
  19. Putrajaya Night Marathon 2019: Did Not Finish (dh lari lebih separuh tapi penganjur arah event cancelled sb cuaca teruk)
  20. Garmin Marathon 2019 (4:21:59)
  21. Selangor Marathon 2020 (4:27:47)
  22. KL Standard Chartered Marathon 2020 (Virtual Run)
  23. KL Standard Chartered Marathon 2021 (Virtual Run)
  24. KL Standard Chartered Marathon 2022 (4:51:42)
  25. Selangor Marathon 2022 (4:46:35)

Author

Pilihan Editor