NIBONG TEBAL: Penyakit African Swine Fever (ASF) atau demam babi Afrika kini telah merebak dengan lebih luas di Pulau Pinang dengan penambahan tujuh ladang ternak babi lagi menjadikan 18 ladang ternak babi di tiga daerah di negeri itu telah dijangkiti wabak tersebut sehingga hari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, 18 ladang babi komersial membabitkan 48,194 ekor babi di situ iaitu melibatkan 14 di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan masing-masing dua di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU).
“Sebelum ini ladang yang dijangkiti ASF hanya di SPT dan SPS namun selepas persampelan dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar(JPV) Pulau Pinang mengesahkan penyakit itu kini telah merebak dengan lebih luas dan menjangkiti ternakan babi di kawasan Kampung Selamat, SPU, dekat sini.
“Bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, JPV Pulau Pinang menjalankan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang positif atau disyaki terjangkit dalam zon jangkitan dengan berpandukan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) bagi penyakit ASF,” katanya pada sidang akhbar di Perkampungan Valdor, di sini hari ini.
Katanya sehingga hari ini juga, sebanyak 4,204 ekor babi telah dimusnahkan dari ladang positif di Daerah SPS dan kerja-kerja pemusnahan ini masih giat dijalankan bagi mengekang penularan penyakit ini dan pelupusan haiwan tersebut akan diteruskan yang dijangka mengambil masa berminggu-minggu.
Chow berkata, kerajaan negeri juga telah mengenal pasti sebuah tapak tanah berkeluasan 16 hektar di kawasan yang jauh dari penempatan awam dan tiada pembangunan untuk dijadikan tapak pelupusan serta ia dapat dijalankan dengan lancar tanpa menyebabkan gangguan kepada orang ramai.
Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak berasa cemas dengan kejadian penyakit ASF kerana penyakit ini bukan penyakit zoonotik dan hanya menjangkiti ternakan babi serta babi hutan namun, ia merupakan penyakit yang berkepentingan ekonomi, sangat cepat merebak dan boleh menyebabkan 100 peratus kematian dalam tempoh dua hingga 10 hari kepada ternakan babi yang dijangkiti.
“Selain itu, bekalan daging babi di Pulau Pinang disahkan selamat dan masih mencukupi untuk menampung keperluan rakyat terutamanya menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan ini adalah memandangkan masih terdapat ladang-ladang yang masih bebas penyakit ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Bani Mohamed Rejab yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata, pihaknya sentiasa telus dan memberikan semua laporan serta keputusan berhubung ujian makmal yang dijalankan JPV Pulau Pinang kepada penternak yang terlibat.
Katanya berhubung pampasan, JPV ada menyediakan pampasan antara RM400 hingga RM800 bagi setiap ekor babi dewasa namun terdapat beberapa syarat perlu dipatuhi oleh penternak.
Jumaat lepas, Pulau Pinang mengisytiharkan wabak ASF sebagai ‘bencana’ selepas terdapat kes positif ASF dilaporkan di tujuh lagi ladang ternak babi komersial membabitkan 25,000 ekor haiwan di SPT dan SPS. – BERNAMA