CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli berkenan berangkat melakukan aktiviti rekreasi memancing di kolam pancing Afprow 3, Templer Saujana Rawang, Selangor petang semalam.
Turut berangkat, paduka anakanda Seri Paduka Baginda YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Semasa aktiviti memancing itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berjaya menaikkan seekor ikan Siakap Merah dan seekor ikan Jenahak seberat 2.5 kilogram seekor.
Pada masa sama, Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pengunjung dan para pemancing di kolam berkenaan.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan bersantap di sebuah restoran berdekatan bersama pengunjung restoran tersebut.