HomeBeritaAnak Vincent Tan letak jawatan, Farhash Pengerusi baharu 7-Eleven

Anak Vincent Tan letak jawatan, Farhash Pengerusi baharu 7-Eleven

KUALA LUMPUR: Pengerusi 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd, Datuk Seri Robin Tan Yeong Ching telah meletak jawatan “untuk meneruskan minat lain”.

Robin, anak kepada pemegang saham utama 7-Eleven, taikun Vincent Tan dengan 41.8 peratus kepentingan, dilantik ke lembaga pengarah kumpulan itu sebagai pengerusi, pengarah bukan eksekutif bukan bebas pada 25 November 2021.

Jawatan itu kini dipegang oleh bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador.

Menerusi kenyataan 7-Eleven pada Selasa, pertukaran lembaga pengarah itu berkuat kuasa serta-merta.

“Farhash membawa bersamanya pengalaman bernilai lebih sedekad dalam bidang perniagaan, perundingan dan nasihat.

“Dalam bidang perniagaan, kerjayanya yang cemerlang merentasi pelbagai sektor termasuk pembinaan, teknologi, hotel, makanan dan minuman.

“Beliau juga merupakan penyokong tegar untuk menggalakkan pembangunan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini,” kata 7-Eleven pada pemfailan di Bursa Malaysia.

Farhash kini menjadi pengarah, pemegang saham dalam sekurang-kurangnya 10 syarikat swasta termasuk Swag Technologies Sdn Bhd, Salvador & Sons Sdn Bhd dan Pacific Samudera Sdn Bhd.

Beliau kini menganggotai lembaga penasihat Yayasan Usahawan Malaysia, sebuah organisasi bukan kerajaan yang mengumpulkan, menubuhkan dan membangunkan syarikat mampan dengan ciri keusahawanan yang kukuh.

Farhash juga merupakan pengerusi eksekutif kumpulan Apex Equity Holdings Bhd dan pengarah Berjaya Construction Bhd.

 

Author

Pilihan Editor