SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya Singapura meneliti setiap penambakan di sekitar kawasan Batu Puteh, agar tidak memberi kesan kepada persekitaran dan persempadanan.
“Hal itu harus dimuktamadkan. Saya mendapat persetujuan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong untuk mendengar hujah kita dalam masa terdekat,” katanya kepada media Malaysia di akhir lawatan rasmi ke republik ini hari ini.
Menurut Anwar, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah meletakkan kawasan Batu Puteh sebagai milik Singapura, maka penambakan yang dilakukan Singapura adalah mengikut keputusan yang sah.
Semasa ditanya jika Malaysia tidak lagi bercadang untuk membuat rayuan berhubung keputusan ICJ itu, Anwar berkata “Kita dah terlepas kesempatan itu.”
“Kita terpaksa terima keputusan ICJ, tetapi penafsiran, pentakrifan dan interpretasi persetujuan itu sedang kita bincang sejauh mana penambakan (di pihak Singapura) yang boleh dilakukan,” katanya.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, beliau mahukan supaya rundingan itu dilakukan secara baik antara dua negara sahabat.
Dalam merumuskan lawatan sehari beliau ke Singapura hari ini, Anwar berkata, kunjungan beliau dapat manfaatkan beberapa perkara temasuk isu-isu rundingan terus serta isu-isu sensitif, yang menurutnya boleh dibincangkan lagi dengan teliti, termasuk berkaitan isu pembekalan air.
Anwar berkata, terdapat kesediaan Singapura membuka perbincangan berkaitan isu air dengan perkiraan baharu bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi negeri Johor dan republik ini, dan menurutnya rundingan penyumberan air boleh diperluas ke negeri Pahang.
Beliau berkata, perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong turut menyentuh isu berkenaan kesesakan di Tambak Johor, yang disifatkan Anwar sebagai menyusahkan ratusan ribu rakyat Malaysia dan juga rakyat Singapura ke Malaysia.
“Kami bersetuju untuk diperbaiki sementara. Kita perkenalkan sistem digital lebih canggih, tapi juga berikan kemudahan tambahan, terutamanya hujung minggu dan waktu pagi untuk pekerja-pekerja Malaysia yang terpaksa bangun pukul 4 pagi untuk mencari rezeki dan balik dalam kesusahan,” katanya dan menambah pihak Singapura turut setuju untuk memberikan kerjasama menanganinya.
Mengenai lalu lintas ruang udara, Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk menetapkan kawasan yang harus jadi hak mutlak Malaysia.
“Di samping itu Singapura bersedia berbincang supaya laluan untuk Lapangan Terbang Antaranangsa Changi tidak diganggu sesiapa, supaya dapat dimanfaatkan untuk laluan penerbangan republik itu,” katanya. – BERNAMA