HomeBeritaAnwar yakin berbilion ringgit wang Malaysia dapat diselamatkan

Anwar yakin berbilion ringgit wang Malaysia dapat diselamatkan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin berbilion ringgit wang negara akan dapat diselamatkan sekiranya kelemahan urus tadbir dahulu dihentikan.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat sempena Wacana Membangun Negara Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Menurut beliau, kelemahan terbesar ialah cara mengurus menggunakan wang untuk memperkayakan kelompok-kelompok kecil.

“Semalam rakan-rakan jemaah menteri meneliti, menelusuri laporan Ketua Audit Negara 2021. Sekiranya dapat diperbaiki kelemahan-kelemahan yang disebut berulang kali selama berpuluh tahun oleh Ketua Audit Negara, oleh pimpinan politik dan penjawat awam, saya yakin RM5 hingga RM6 bilion boleh diselamatkan.

“Itu daripada laporan Ketua Audit Negara, dan dari kajian projek-projek besar dan termasuk kekuatan badan penguatkuasaan, sekiranya dijalankan dengan teliti, telus dan bertanggungjawab, saya yakin berbilion ringgit lagi boleh diselamatkan.

“Kalau katakan dana kita ini kurang RM15 bilion, pengurusan yang baik dan cekap itu boleh menyelamatkan RM15 bilion tanpa projek-projek baru atau ikhtiar dan inisiatif baru. Inilah cabaran kita yang tidak mungkin dilaksanakan dengan jemaah menteri sahaja tetapi dengan seluruh kekuatan yang ada,” katanya.

Anwar berkata, oleh itu, teras yang disebut dalam Madani ini tidak sama sekali boleh mengenepikan apa yang disebut sebagai tunggak, mendirikan atau menegakkan sistem yang lebih mampan.

Jelasnya, kemampanan ekonomi itu bagi sesebuah negara dengan tatakelola yang baik adalah ukuran utama untuk menjamin perkara tersebut.

“Maka semua langkah yang akan diumumkan dalam Belanjawan 2023 pada 24 Februari akan mengembalikan kita kepada beberapa asas, percepatkan kelulusan, menghentikan kaedah mendapatkan komisyen, yang bukan hak kita dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dan tidak juga menindas atau menekan individu atau puak yang tidak mendokong kita,” tegasnya lagi.

Author

Pilihan Editor