BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang memaklumkan bekalan telur ayam di negeri itu masih mencukupi walaupun di sesetengah premis jualan menerima bekalan antara 50 hingga 60 peratus sahaja buat masa ini.
Pengarahnya, S.Jegan berkata, berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan, pihaknya mendapati isu kekurangan bekalan telur ayam itu berlaku disebabkan masalah aturan penghantaran bekalan telur ayam yang berbeza di peringkat pemborong.
“Jumlah telur yang cukup ini tak sama 100 peratus seperti sebelum ini, tapi ia masih mencukupi di peringkat peruncit cuma berdasarkan pemeriksaan, kami mendapati pemborong ada bekalan telur ayam yang cukup, tapi mungkin tak hantar semua buat masa ini, mereka kawal penghantaran,” katanya ketika diminta mengulas berhubung bekalan telur ayam di Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Beliau berkata sejak 16 Disember lepas, KPDN telah menjalankan Op Terjah yang mana setiap negeri termasuk di Pulau Pinang diminta menyediakan laporan harian berkaitan bekalan makanan asas antaranya minyak masak, gula, tepung dan telur ayam.
“Sejak tempoh itu, sebanyak 409 premis telah diperiksa sehingga semalam dan kami mendapati bekalan telur ayam masih mencukupi, ini berdasarkan kesimpulan yang mengkategorikan bekalan telur mengikut kod warna hijau (mencukupi), kuning (bekalan kurang) dan merah (tiada bekalan).
“Kami mendapati kod warna hijau ada 337 (premis) mempunyai bekalan, 23 (premis) kuning kurang bekalan dan 12 lagi tiada bekalan. Secara keseluruhannya bekalan itu masih mencukupi dan berharap ia kekal sehingga musim perayaan (Tahun Baharu Cina),” katanya.
Mengulas lanjut, Jegan berkata, ketika ini masalah bekalan telur ayam hanya dikesan di peringkat peruncit, bukannya pemborong berdasarkan pemeriksaan dijalankan pihaknya.
“Kami turut mendapati pemborong memperoleh bekalan telur ayam seperti biasa dan tiada masalah dengan bekalan,cuma ada dalam kalangan peruncit yang mengalami gangguan bekalan atas beberapa faktor lain.
“Antaranya ada peruncit yang terima aturan (penghantaran bekalan telur ayam) dalam seminggu hanya sekali sahaja. Jadi, kalau pengguna beli sekarang sudah habis, mungkin dua hari berikutnya akan ada bekalan baharu,” katanya. – BERNAMA