HomeBeritaBimbang kes COVID-19 di China, rakyat harap kuat kuasa pemakaian pelitup muka

Bimbang kes COVID-19 di China, rakyat harap kuat kuasa pemakaian pelitup muka

KUALA LUMPUR: Penularan kes baharu COVID-19 di China yang melonjak lebih 60,000 dalam seminggu menimbulkan kebimbangan awam susulan negara itu akan membuka sempadannya pada 8 Januari 2023.

Setakat ini kerajaan tidak mengumumkan sebarang sekatan kemasukan pengembara dari China dan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengumumkan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka bagi peniaga makanan dan minuman.

Mengambil kira isu ini, MEDIA VARIASI mendapatkan beberapa pandangan daripada orang awam yang berkunjung di pasar di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mengenai penguatkuasaan pemakaian pelitup muka.

Apabila ditanya adakah penguatkuasaan ini sepatutnya hanya dikenakan kepada peniaga sahaja, Suleen Elena Naidiu berpendapat semua orang perlu memakai pelitup muka.

Suleen Elena Naidiu.

“Saya rasa semua orang harus memakai topeng, orang awam juga harus memakai topeng, mereka juga perlu dikenakan, kerana kita tidak tahu varian apa yang datang dari China jadi kita perlu memakai pelitup muka juga.

“Bercakap sebagai rakyat, kita juga harus memakai topeng, untuk keselamatan di pihak kita.

“Kerana mereka akan datang ke negara kita jadi kita juga harus memakai topeng bukan sahaja orang di restoran yang menghidangkan makanan, ia lebih selamat,” kata Suleen Elena.

Mohd Sharif Fahruddin pula berkata, dia pun sentiasa memakai pelitup muka dan baginya, semua orang sepatutnya pakai pelitup muka.

Mohd Sharif Fahruddin.

Dia merasakan pemakaian pelitup muka memang sepatutnya dikuatkuasakan ke atas semua orang awam.

“Saya rasa patut, sebab kalau tidak dikawal COVID-19 ini nanti akan ada balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peniaga pun susah, pelabur pun susah.

“Jadi, cara lain paling bagus untuk kurangkan penyebaran COVID-19 ini saya rasa dengan memakai pelitup muka. Walaupun tidak secara 100 peratus, lebih baik daripada tidak ada,” katanya.

Sementara itu, Sam Faisal berkata, pemakaian itu perlu dikuatkuasakan semula kepada semua orang dan bukan sekadar peniaga kerana melihatkan peningkatan trend COVID-19.

Sam Faisal.

“Melainkan kita ada lagi pemberian dos vaksin, kemudian kita sudah dapat semula imuniti kelompok baru lah kita boleh buka balik pemakaian pelitup muka ini.

“Jadi secara ringkasnya perlu fokus kepada tidak menyebarkan COVID-19, jadi saya rasa memang patutlah kita pakai pelitup muka semula.

“Sebab saya sendiri pun rasa apabila saya tidak pakai pelitup muka, saya lagi kerap jatuh sakit contohnya demam, setiap dua minggu akan demam.

“Selepas saya pakai pelitup muka semula, memang hilang terus demam saya, sihat sahaja, jadi saya rasa pelitup muka sangat berfungsi,” ulas Sam.

Nur Akma Abdul Aziz turut menguatkan pendapat mengenai penguatkuasaan pemakaian pelitup muka ke atas orang awam.

Nur Akma Abdul Aziz.

“Saya rasa pemakaian pelitup muka perlu dikuatkuasakan macam dahulu, tidak kira peniaga, pembeli, pelanggan, mesti pakai sebab kita pun tak tahu.

“Macam dulu sebelum COVID-19 datang dan merebak ke Malaysia, perlu berhati-hati, kita perlu berwaspada,” kata wanita itu.

Berlainan pula dengan Sundaram Muthuraman kerana baginya pemakaian pelitup muka ini bergantung kepada keadaan dan tidak perlu terutamanya di kawasan terbuka.

Sundaram Muthuraman.

“Terpulang kepada keadaan, kalau macam contoh sekarang ini kita di tempat terbuka, pada pendapat saya, keadaan di kawasan terbuka tidak berapa kritikal.

“Tetapi kalau kawasan tertutup, bukan sahaja peniaga tetapi pengunjung pun kena pakai, sudah tentulah masa makan boleh buka.

“Bagi saya, digalakkan apabila masuk ke kawasan tertutup untuk memakai pelitup muka, kalau tempat terbuka mungkin tidak apa kerana tidak terlalu berisiko,” kata Sundaram.

Kemasukan pengembara dari China

Apabila mereka diminta memberi pandangan mengenai kemasukan pengembara dari China ke Malaysia, sama ada perlu disekat atau tidak, reaksinya berbeza-beza.

Suleen Elena dan Nur Akma berpendapat tidak setuju untuk Malaysia membenarkan kemasukan pengembara dari China.

“Saya tidak bersetuju, kita harus menutup sempadan dengan China untuk seketika kerana mereka membawa virus COVID-19 juga jadi kita harus berada di pihak yang lebih selamat,” kata Suleen Elena.

“Saya tidak setuju, dulu semasa tahun 2020, kes COVID-19 pun bermula datang daripada China sehinggakan merebak ke seluruh negara. Jadi harapnya, janganlah pisang berbuah dua kali, biarlah sekali sahaja, kali ini kita berhati-hati lah,” kata Nur Akma.

Sementara itu, Mohd Sharif enggan memberi komen kerana baginya perkara itu susah untuk diulas memandangkan banyak berkait dengan beberapa isu seperti isu diplomatik.

Sam dan Sundaram pula berkata kemasukan itu tidak perlu disekat mengambil kira isu ekonomi yang berhubung dengan sektor pelancongan.

Namun, kata mereka, kawalan harus dikenakan terhadap pengembara tersebut bagi mengelakan berlakunya perebakan COVID-19.

“Bagi saya, sebab kita pun masih lagi kena fokus dekat ekonomi negara kita, kalau kita sekat apa-apa kemasukan dari China akan memberi kesan kepada ekonomi.

“Jadi bagi saya, kita masih perlu membenarkan mereka masuk ke negara kita tetapi kita perlu lakukan saringan di lapangan terbang apabila mereka masuk,” kata Sam.

“Saya rasa kita mungkin perlu mengawalnya di imigresen, sekurang-kurangnya satu atau dua bulan, pastikan mereka menjalani ujian saringan PCR.

“Jadi mereka perlu buktikan mereka negatif COVID-19 daripada ujian tersebut, baru benarkan mereka masuk, saya rasa banyak negara yang nak buat macam ini dan kita juga perlu.

“Bagi saya pengunjung dari China juga sangat penting untuk sektor pelancongan, tetapi kita perlu mengawalnya dari segi kemasukan ke dalam negara,” kata Sundaram.

Author

Pilihan Editor