CYBERJAYA: Bekerja jauh dari lokasi kediaman pasti memberi kepenatan yang tidak terkata.
Mana tidaknya, penat di pejabat dengan karenah bos dan rakan sekerja pun dah cukup merimaskan ditambah pula perlu menghadap kesesakan lalu lintas yang berjam-jam setiap hari pasti memberi tekanan buat kehidupan manusia.
Belum lagi masuk perihal karenah anak-anak, isteri atau suami di rumah yang terkadang emosinya tak tentu hala pasti memeningkan diri.
Namun demi kelangsungan hidup tentunya segala keletihan itu perlu ditelan bak angin lalu supaya kudrat yang dikurniakan tuhan itu kekal melakukan yang terbaik demi hidup sendiri mahupun keluarga tercinta.
Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan kisah perjalanan seorang wanita berulang-alik pergi kerja dimana dia perlu melalui jarak kira-kira 206 kilometer (km) setiap hari bekerja iaitu dari Shah Alam ke Sungai Besar.
Menerusi perkongsian video oleh si suami, difahamkan hampir tiga tahun isterinya melalui perjalanan ulang-alik kerja sedemikian yang memerlukan dia keluar rumah awal pagi.
Bukanlah tidak mahu berpindah mencari kerja yang berdekatan di rumah, namun atas faktor-faktor tertentu membuatkan si isteri masih bertahan berulang-alik jalani perjalanan sehariannya.
Video berkenaan yang setakat ini mendapat lebih 18,600 tanda suka itu nyata mendapat perhatian umum apabila rata-rata netizen tampil di ruangan komen dengan turut berkongsi kisah perjalanan kerja mereka.
Menerusi ruangan komen, kisah berulang alik dari Shah Alam ke Sungai Besar bukanlah suatu perkara yang dikategorikan paling memenatkan, memandangkan ada insan yang lebih penat jika dilihat melalui perkongsian mereka.
Salah satu yang menjadi perhatian adalah komen dari Wan Azhan, yang menyatakan hampir 10 tahun dia berulang alik dari Bentong ke Putrajaya demi mencari rezeki.
Menurutnya, hampir dua kali dia berdepan dengan kemalangan yang mengundang maut namun masih utuh dengan kehidupan sedemikian atas komitmen yang ada ditambah pula anak-anaknya masih kecil.
Selain itu, Amirul Ashraf, yang sudah berulang alik dari Senawang ke Klang hampir enam tahun menyatakan pada awalnya, jarak perjalanan itu terasa jauh namun apabila sudah terbiasa, semuanya dilalui dengan tenang.
Dalam pada itu, ada juga netizen yang terkesima mendengar kisah perjalanan kerja sebilangan yang lain hingga sedar bahawa masih ramai yang lebih susah berbanding kehidupan sendiri.