HomeNiagaDua individu digantung eksekutif tuntut penjelasan Revenue Group Bhd

Dua individu digantung eksekutif tuntut penjelasan Revenue Group Bhd

PETALING JAYA: Dua individu yang digantung fungsi eksekutif oleh Revenue Group Bhd, menuntut syarikat penyedia penyelesaian pembayaran tanpa tunai itu memberikan penjelasan berhubung tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap mereka.

Brian Ng Shih Chiow dan Dino Ng Shih Fang menyifatkan mereka berhak mengetahui sebab munasabah atas penggantungan jawatan yang diumumkan syarikat melalui siaran media pada 4 Januari 2023.

Ini berikutan, mereka mendakwa tidak menerima sebarang surat rasmi yang mengaitkan tindakan penggantungan eksekutif mereka, sehingga saat sidang media itu diadakan.

“Beberapa hari sebelum pengumuman penggantungan dibuat, kami diberi surat pada 29 Disember diminta untuk menjelaskan beberapa isu.

“Ada dua isu yang dibuat terhadap kami, dan ia adalah tuduhan tidak berasas, remeh, berniat jahat selain mencemarkan nama baik kami yang dipercayai seperti ada motif tersembunyi dalam isu ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Brian Ng sebagai pengarah Revenue Harvest Sdn Bhd diberikan surat tunjuk sebab selepas dikatakan meluluskan peruntukan penghantaran gulungan tisu termal oleh pihak Safety & Bullet Film Sdn Bhd (SBF).

Bagaimanapun, SBF dipercayai tidak mengedarkannya bagi tempoh tertentu.

Brian Ng berkata, terdapat invois dan pesanan penghantaran bagi pengedaran tisu berkenaan, yang membuktikan wujud penghantaran tetapi surat tunjuk sebab itu tidak menyertakan maklumat invois untuk dirujuk, sebelum tengah hari pada 3 Januari 2023.

Brian Ng turut mempersoalkan fungsi eksekutif asal yang tidak boleh dilaksanakan secara perseorangan untuk meluluskan sebarang peruntukan melainkan bersama persetujuan Pengarah Urusan bersama, Eddie Ng Chee Siong berdasarkan tradisi syarikat.

Seharusnya, surat tunjuk sebab juga perlu diberikan kepada Eddie Ng dalam hal berkenaan.

Dino Ng pula diberi surat tunjuk sebab berkaitan keengganan menukar hak milik kereta jenis Toyota Vellfire kepada syarikat terbabit, sedangkan pihak syarikat tidak pernah mempersoalkan tuntutan pemilikan kenderaan sejak empat tahun lalu.

Dino Ng berkata, Toyota Vellfire itu adalah hadiah cabutan bertuah daripada CIMB Bank Berhad pada 2018, dan mendakwa syarikat bersetuju untuk mendaftarkan kereta itu ke atas namanya bagi tujuan kegunaan syarikat selain kos cukai jalan lebih tinggi jika didaftar di bawah syarikat.

Pada 4 Januari lalu, Revenue Group Bhd menggantung fungsi eksekutif Ng Shih Chiow dan Ng Shih Fang berkuat kuasa serta merta, menunggu siasatan lanjut berhubung aduan tertentu terhadap mereka.

Revenue Group Bhd menerusi kenyataan berkata, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Revenue, Datuk Eddie Ng Chee Siong memaklumkan Lembaga Pengarah memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa perniagaannya berjalan seperti biasa dengan pasukan kepimpinan yang berjaya dalam mengendalikan operasi harian.

Malah, kumpulan berkenaan akan membuat pengumuman selanjutnya jika terdapat sebarang perkembangan berhubung perkara itu.

Untuk rekod, Revenue Group Bhd merupakan syarikat awam yang pernah tersenarai dalam Forbes Asia’s Best Under A Billion 2020 berdasarkan rekod hasil syarikat kurang daripada AS$1 bilion (RM4.19 bilion) dengan jualan kasar dan pendapatan bersih syarikat sentiasa konsisten.

Author

Pilihan Editor