CYBERJAYA: Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menggesa Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi penjelasan mengenai niat mereka memberi duit kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Hamzah mempertahankan kenyataan yang dibuat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai pemberian tunai itu.
“Dan kamu kata kamu ada bukti kukuh yang PN kononnya tidak rasuah pengundi semasa pilihanraya lepas. Jika benar, nyatakanlah bukti kukuh tersebut supaya rakyat boleh menilai dan untuk mengelak fitnah jika kamu benar.
“Dan jelaskan sekali berkenaan banyak video yang tular dan laporan polis yang dibuat berkenaan orang-orang PN beri duit kepada pengundi dan meminta penerima duit bersumpah atas nama Allah supaya undi PAS,” tegas Isham dalam kenyataan pada Ahad malam.
Terdahulu, Abdul Hadi berkata, pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Susulan itu, Hamzah berkata, pemberian duit semasa kempen PRU15 bergantung kepada niat dan tujuan seseorang itu, serta ada pengundi yang meminta wang daripada calon untuk kegunaan tertentu.
Mengulas lanjut, Isham dalam kenyataan sama turut menempelak tindakan tersebut yang dianggap menggunakan nama Allah untuk merasuah pengundi.
“Menggunakan nama Allah untuk merasuah pengundi adalah sesuatu yang keji. Dan kemudian menipu untuk menutup amalan rasuah tersebut bukanlah sesuatu strategi yang baik, ia umpama menggali lubang yang lebih dalam untuk tanam diri sendiri.
“Usah memperguna dan menunggang agama untuk menghalalkan yang haram. Yang haram tetap haram. Allah maha mengetahui apa yang kamu dan rakan-rakan kamu buat. Bertaubatlah,” pesannya lagi.