KUALA TERENGGANU: Kecederaan teruk hingga mengakibatkan kaki kanan patah pada enam bulan lalu, membuatkan seorang murid tahun tiga memfailkan saman sivil terhadap guru kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA).
Mangsa, Muhammad Izz Anaqi Mohd. Izwan, 10, diwakili ibunya, Nor Azlina Mohamad Yasin, 37, menuntut ganti rugi sebanyak RM410,000 terhadap guru KAFA tersebut, Ahmad Mursyidin Abdullah, 38, dan Yayasan Islam Terengganu sebagai majikan defendan pertama.
Writ saman sivil berkenaan difailkan menerusi peguam, Mohd. Hazwan Hamidun dari Tetuan Rafaei & Co Mahkamah Sesyen di sini hari ini, lapor Kosmo.
Berdasarkan penyataan tuntutan, defendan pertama didakwa telah menghempas mangsa ke atas kerusi pada pukul 3.30 petang, 6 Julai 2022.
Tindakan itu dipercayai berpunca atas faktor ketidakpuasan hati Ahmad Mursyidi yang melihat Muhammad Izz Anaqi bermain dengan rakan-rakan lain di belakang bilik darjah.
Susulan kejadian, mangsa tidak dapat berjalan pulang ke rumah selepas sesi persekolahan dan telah dirujuk sebuah klinik swasta yang mengesahkan kaki kanannya patah berdasarkan imbasan x-Ray.
Untuk rekod, pada Julai tahun lalu, media melaporkan seorang ibu menuntuh pembelaan terhadap anak lelakinya berusia sembilan tahun yang didakwa dicederakan defendan pertama hingga patah kaki sebelum membuat laporan polis pada 8 Julai 2022.
Ahmad Mursyidin kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang pada 12 Oktober lalu atas pertuduhan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.