KUALA LUMPUR: Isu kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion secara rundingan terus dalam tempoh kerajaan sementara dibangkitkan bagi mendapatkan penjelasan daripada bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan beliau juga mengetengahkan isu itu untuk tujuan perhatian umum serta wacana awam yang sihat.
Berdasarkan pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 28 Disember tahun lepas, Rafizi mendakwa kenyataan yang dibuat semasa dua sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor pada 7 dan 9 November tahun lalu, bukan fitnah atau dilakukan dengan niat jahat.
“Niat sebenar saya membuat kenyataan media tersebut adalah untuk menjemput atau mendorong plaintif (Tuan Ibrahim) agar memberi penjelasan berkenaan kenyataan media tersebut atau membawa isu mengenai ketelusan pihak berkuasa dalam penganugerahan kontrak pelaksanaan projek-projek kepada perhatian umum.
“Atau untuk menyedarkan rakyat mengenai pengurusan perolehan kerajaan dalam tempoh caretaker (kerana pada waktu itu kerajaan yang ada hanyalah sebuah kerajaan sementara). Isu mengenai ketelusan dalam perbelanjaan dana awam merupakan isu berkepentingan awam,” dakwa Rafizi.
Ahli Parlimen Pandan itu turut mendakwa beliau memperoleh maklumat bahawa terdapat komunikasi serta proses pemberian projek tertentu di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) kepada Mangkubumi Sdn Bhd.
Sehubungan itu, katanya Tuan Ibrahim sebagai Menterinya ketika itu dan selaku plaintif seharusnya menyahut cabaran untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan.
Tambah beliau, pihak yang mendapat faedah daripada kenyataan medianya adalah rakyat dan pembayar cukai dan adalah salah bagi Tuan Ibrahim melihat semua itu dari sudut pandangan yang sempit seolah-olah itu adalah isu peribadi di antara beliau dan Tuan Ibrahim atau PAS.
Tuan Ibrahim dalam jawapan kepada pembelaan antara lain menegaskan Rafizi membuat dakwaan palsu atas kapasitinya sebagai ahli politik dan calon Ahli Parlimen Pandan semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan menjadikan kenyataan fitnah itu sebagai bahan kempen pilihan raya.
Peguam Yusfarizal Yussoff mewakili Tuan Ibrahim ketika dihubungi berkata pengurusan kes ditetapkan pada 31 Mac ini.
Dalam saman yang difailkan pada 17 Nov tahun lepas, Tuan Ibrahim antara lain mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud dalam tempoh kerajaan sementara, terdapat rundingan, perbincangan dan usaha melibatkan plaintif giat dijalankan bagi meluluskan projek bernilai RM2 bilion kepada syarikat Mangkubumi secara rundingan terus untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat. – BERNAMA