HomeBeritaJangan takutkan pelancong China, merepek sungguh - GTA

Jangan takutkan pelancong China, merepek sungguh – GTA

KUALA LUMPUR: “Jangan takutkan pelancong dari China? Ini adalah sesuatu yang merepek yang cukup luar biasa,” kata Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Aminuddin Yahaya.

Aminuddin menyelar pendirian kerajaan berhubung kenyataan Menteri Pelancongan, Tiong King Sing membabitkan isu kemasukan pelancong dari negara yang didakwa menjadi punca pandemik COVID-19, China.

Hal ini kerana, katanya, situasi itu membuatkan rakyat Malaysia hidup dalam kebimbangan malah, keputusan itu dikatakan seolah-olah beriya-iya dalam menggalakkan pula.

Paling mengecewakan, beliau berkata, kenyataan itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin tanah air.

“Nampaknya kerajaan lebih ‘sayangkan’ pelancong China yang berjuta-juta dan berduyun-duyun masuk ke Malaysia walaupun penularan varian baharu COVID-19 di negara itu sedang menggila.

“Lebih membimbangkan apabila tidak lama selepas beliau (menteri) ‘merepek’, dilaporkan pula bahawa dua varian utama dari negara China sudah mula merebak di Malaysia.

“Malah dilaporkan lagi selepas itu sebanyak 96.5 peratus sampel air kumbahan pesawat dari China yang diuji oleh pasukan KKM (Kementerian Kesihatan) dikesan ada virus COVID-19,” tulisnya di hantaran Facebooknya.

Aminuddin turut menyindir menteri berkenaan berikutan tiada permohonan maaf daripada pemimpin itu, sehingga kini.

“Sepatutnya kerajaan sejak dari awal lagi mengambil iktibar akan apa yang berlaku di Itali baru-baru ini. Hampir separuh dari penumpang yang tiba dari China positif COVID-19.

“Inilah antara asas kebimbangan rakyat Malaysia. Bukan saja-saja nak takut-takut, apatah lagi kebencian kaum.

“Tambahan pula, ketika ini banyak negara yang sudah mengambil tindakan tegas terhadap kemasukan pelancong China demi menjaga nyawa rakyat mereka.

“Di Malaysia? Jangan takutkan pelancong? Merepek sungguh,” katanya.

King Sing sebelum ini dilaporkan meminta orang ramai berhati-hati terhadap komen mereka berhubung ketibaan pelancong dari China susulan pembukaan semula sempadan negara itu.

Dalam catatan di Facebook yang ditulis dalam bahasa Cina, King Sing berkata, pelancong dari China tidak sewajarnya merasa tersisih untuk datang ke negara ini.

Author

Pilihan Editor