KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman hari ini memeterai kerjasama dengan syarikat pembangun aplikasi telefon bimbit Whoscall bagi mengekang kes penipuan dalam talian.
Pengarah JSJK, Datuk Kamarudin Md Din berkata, aplikasi identifikasi panggilan yang dibangunkan oleh syarikat My Gogo and Look Sdn Bhd itu akan memberi maklumat kepada pengguna berhubung panggilan tidak diketahui.
Beliau berkata, melalui kerjasama itu, nombor telefon yang tersenarai dalam pangkalan data Sistem Semakmule milik JSJK akan ditandakan sebagai scammer oleh Whoscall.
“Ini membolehkan pengguna yang memuat turun aplikasi ini di telefon bimbit mereka membuat keputusan sama ada mahu menjawab panggilan yang diterima atau sebaliknya,” menurut beliau dalam kenyataan hari ini.
Kamarudin berkata, JSJK turut melancarkan lagu antipenipuan bertajuk ‘Be Smart Stay Alert’ ciptaan pemuzik dan komposer, Lenny Ooi Teck Wai.
“Video muzik lagu ini dimuat naik ke laman Facebook JSJK dan diharap pengguna media sosial dapat berkongsi serta menyebarkan muzik video ini bagi memastikan mesej di sebalik lagu ini dapat disampaikan kepada seramai mungkin individu,” katanya.
Kamarudin berkata, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan supaya lagu itu dapat dinyanyikan oleh pelajar di sekolah dalam menyampaikan mesej pencegahan jenayah komersial sejak di bangku sekolah lagi.
Beliau juga berkata kes jenayah penipuan dalam talian mencatatkan penurunan pada tahun lepas iaitu 20,041 berbanding 20,701 pada 2021.
Katanya bagaimanapun, jumlah tangkapan dan kerugian meningkat iaitu 13,371 tangkapan yang melibatkan kerugian sebanyak RM684,574,056.73 pada tahun lepas berbanding 9,991 dengan kerugian RM560,813,575.94 pada 2021. – BERNAMA