HomeMV+PendapatKemasukan pelancong China, mahu terhantuk sekali lagi?

Kemasukan pelancong China, mahu terhantuk sekali lagi?

SEJARAH sentiasa berulang namun bergantung kepada manusia untuk mahu atau tidak mahu ambil pelajaran.

Sekali terhantuk sekali terngadah sudah banyak kali kena hantuk asyik mengadah sahaja dan ia satu kebodohan namanya.

Rakyat sudah sedar sudah tahu kesan kemasukan virus COVID-19 pada sekitar Disember 2019 iaitu ketika pelancong China dari Singapura masuk ke Malaysia melalui laluan Johor.

Kes pertama COVID-19 dilaporkan di Malaysia adalah pada 25 Januari 2020 apabila tiga warga China yang memasuki Malaysia melalui Johor disahkan positif.

Kesemua mangsa terdiri daripada seorang wanita warga emas berusia 66 tahun serta dua cucunya masing-masing 11 dan dua tahun yang masuk Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Kronologi kes pada 23 Januari 2020, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telahpun memaklumkan mendapat maklumat dari pihak berkuasa Singapura bahawa kes pertama berpunca dari satu keluarga warga China dari Wuhan.

Lelaki warga emas ini melancong bersama sembilan anggota keluarganya.

Sebaik sahaja ditahan di hospital di Singapura dan disahkan positif COVID-19, baki ahli keluarga segera melarikan diri dan memasuki Johor.

Pada masa itu kemasukan warga China masih dibenarkan dan kamera pengesan haba tidak 100 peratus tepat.

Selepas pengesahan maklumat Singapura, Polis Diraja Malaysia segera mengesan keluarga ini iaitu seorang nenek berusia 66 tahun dan dua cucunya.

Ketiga-tiga mereka ini diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Seri Dzulkefly Ahmad ketika itu mengumumkan kes pertama COVID-19 di Malaysia pada 25 Januari kemudian dan mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Mana hilangnya prosedur kes apabila sudah menjadi kontak rapat di Singapura tetapi masih lagi dibenarkan masuk ke Malaysia?

Betapa mudahnya bolos ke Malaysia sehingga mereka ini menjadi ‘tetamu istimewa’ kes pertama Hospital Sungai Buloh.

Dan kita semua sudah tahu apa kesannya apabila kapal persiaran China berlabuh di Pulau Pinang pada bulan yang sama ketika itu.

Susulan kejadian itu banyak NGO, doktor, wartawan menyuarakan kebimbangan sehingga ada yang didakwa polis menimbulkan kebimbangan awam sedangkan kebimbangan sudah wujud sebelum itu lagi.

Apakah kesudahan hantukan-hantukan ini kepada kepala para pemimpin semua, Ketua Pengarah Kesihatan serta pihak-pihak yang boleh buat keputusan sehingga masih mahu membenarkan warga China masuk ke Malaysia lewat Disember 2022 lalu?

Sedangkan, beberapa negara telah mengenakan larangan masuk kepada pelancong dari China sebagai contoh Maghribi.

Pihak berkuasa Maghribi mengumumkan sekatan itu mulai 3 Januari 2023 berikutan peningkatan kes COVID-19.

Maghribi memutuskan untuk melarang akses ke wilayah Maghribi kepada semua pengembara yang datang dari China tanpa mengira kewarganegaraan mereka.

Sebelum ini Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Itali dan Sepanyol turut akan menguatkuasakan keperluan perjalanan baharu untuk mereka yang datang dari China termasuk keputusan ujian negatif COVID-19.

China baru-baru ini mengumumkan akan mula melonggarkan langkah pencegahan pandemik dan memilih “hidup bersama Covid” selepas tiga tahun sekatan, sempadan ditutup dan kuarantin wajib.

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) turut menggesa kerajaan agar menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian COVID-19 di negara itu reda.

Menurut Presidennya, Datuk Dr Mohd Khalid Harun, lonjakan ketara kes COVID-19 di China baru-baru ini meningkatkan lagi potensi varian baharu yang bakal muncul sekali gus memberi kegusaran kepada rakyat malaysia khususnya pemain.

Apakah kewajaran apabila Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan ujian air kumbahan pesawat dari China bagi memperkukuhkan pengawasan di pintu masuk antarabangsa (PMA) dalam mengekang penularan COVID-19 pula?

Adakah kerajaan hanya melihat keuntungan besar ekonomi semata-mata berbanding mengutamakan keselamatan rakyat, walhal umum mengetahui langkah penguatkuasaan negara sedia ada masih belum cukup berkesan.

Mari kita imbas kembali tahun 2019 hinggalah 18 mac 2020 apakah yang berlaku ketika itu?

Semua peniaga kecil-kecilan penjaja tepi jalan turut terjejas tidak dapat berniaga, ramai dibuang kerja, rakyat terpaksa kibar bendera putih kerana kebuluran makanan dalam kempen rakyat bantu rakyat.

Malah pada April 2020, seorang warga emas berusia 74 tahun dilaporkan meninggal dunia kerana kebuluran ketika PKP di mana jiran pun takut keluar rumah untuk bertanya khabar jirannya yang uzur.

Semua hotel, rumah inap ditutup, pusat percutian, pengunjung hotel yang terperangkap tidak mampu teruskan bayaran, hotel tidak mampu tanggung kos.

Banyak hotel lima bintang tumbang satu demi satu.

Haiwan dalam kurungan Zoo Negara ada yang mati dan terjejas kerana tiada kos untuk menanggung mereka, pekerja pun terjejas.

Untuk kali pertama ketika itu, pergi berjemaah ke masjid adalah satu jenayah dan beberapa surau serta jemaah diserbu kerana melakukan solat Jumaat.

Dalam tempoh dua tahun itu, Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas tidak dapat disambut bersama keluarga.

Rentas negeri adalah kesalahan termasuk perkumpulan keluarga.

Mana- mana orang yang tetap berhari raya berkunjung senyap-senyap akan merasai ketakutan bagaikan penjenayah dan pihak polis meronda melihat jumlah kasut di hadapan rumah dan segera datang untuk soal siasat.

Tidak rugi pun untuk sementara demi kepentingan negara jika sekatan terhadap pelancong China ini dilaksanakan dua atau tiga bulan bergantung kepada data penularan varian baharu berbanding hendak melihat satu persatu industri tutup kerana tiada sekatan awal.

Kerajaan Malaysia habiskan RM6 bilion untuk menampung kos dan pembiayaan bantuan ketika bencana COVID-19.

Adakah sempena tahun 2023 kita inginkan perkara ini berlaku lagi? Berapa kali mahu mengadah kepala?

Maka berapa kalikah hantukan kepala untuk kita mencegah penularan varian baharu.?

Izinkan rakyat menjaga negara ini dengan ilmu pencegahan kerana pimpinan terdahulu telah gagal melihat ancaman awal.

*Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian MEDIA VARIASI

 

Author

Pilihan Editor