CYBERJAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan supaya masyarakat mengenepikan fahaman politik dan perbezaan luaran dalam membina kembali negara.
Baginda bertitah demikian dalam kenyataan Baginda dan Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan menzahirkan perutusan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2023 kepada seluruh rakyat Selangor khususnya, dan Malaysia amnya.
Menurut kenyataan Facebook rasmi Pejabat Diraja Selangor pada Sabtu malam, Baginda berdua mendoakan agar tahun 2023 akan membawa sinar baharu yang lebih gemilang dan cemerlang untuk seluruh rakyat.
“Baginda menyeru agar segenap kelompok masyarakat menyematkan azam tahun baharu untuk berjimat cermat dalam menguruskan ekonomi dan gaya hidup harian masing-masing khususnya dalam persekitaran prospek ekonomi dunia yang agak membimbangkan pada tahun 2023.
“Baginda mahu semua pihak berganding bahu dan bekerjasama untuk membina kembali negara ini yang semakin pulih selepas fasa pandemik, dan membawa semula ia ke peringkat yang lebih baik dalam semua aspek termasuk sosial, politik dan ekonomi.
“Baginda menggesa agar setiap ahli masyarakat mengenepikan fahaman politik dan perbezaan luaran dalam usaha mengatasi segala permasalahan dan cabaran yang sedang didepani oleh negara yang kita sayangi ini.
“Baginda tidak mahu ada lagi golongan khususnya ahli-ahli politik yang bertelagah sesama sendiri dan mementingkan kepentingan peribadi semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab masing-masing untuk berkhidmat kepada rakyat. ‘Kurang bercakap, lebihkan tindakan’,” titahnya dalam kenyataan itu.
Baginda turut berharap rakyat kekal mengutamakan keamanan dan keharmonian serta elakkan daripada menyentuh isu-isu sensitif yang boleh memudaratkan ikatan perpaduan sesama kaum di tahun baharu ini.