HomeBeritaPolitikKJ takkan rayu pemecatan dari UMNO

KJ takkan rayu pemecatan dari UMNO

CYBERJAYA: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak akan merayu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memecatnya daripada parti itu.

Menurutnya, tiada guna untuk beliau berbuat sedemikian kerana sudah jelas pihak yang mahu beliau keluar dari UMNO masih dalam parti berkenaan.

Khairy yang juga merupakan bekas Menteri Kesihatan berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Breakfast Grille bersama BFM pagi ini, lapor Berita Harian.

Dalam pada itu, Khairy turut menyatakan tiada dendam yang disimpan beliau terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan masih menganggapnya sebagai rakan.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan mengesahkan Khairy Jamaluddin dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan SrI Noh Omar, dipecat daripada UMNO.

Menurut Ahmad Maslan, kedua-dua individu terbabit dipecat parti disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO atas kesalahan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Author

Pilihan Editor