KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil tindakan penambahbaikan pada peringkat rangka kerja (framework) pangkalan data dan pengaturcaraan beberapa aplikasi kementerian susulan gangguan capaian sistem mula dikesan pada 15 Januari lalu.
KPM, dalam kenyataan pada Junaat, memaklumkan isu gangguan tersebut termasuk Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan Sistem Pengurusan Identiti (idME) yang merupakan Sistem Daftar Diri Tunggal bagi setiap pengguna aplikasi KPM.
“Langkah tindakan pemulihan interim pada pangkalan data serta sistem aplikasi terlibat telah diambil dan telah dapat mengatasi salah satu isu yang dikenal pasti iaitu konflik capaian di antara idMe dan modul aplikasi MOEIS namun begitu gangguan kepada sistem dikesan berlaku semula secara berulang,” menurut KPM.
Menurut kementerian itu, gangguan capaian sistem itu adalah disebabkan capaian trafik yang amat tinggi daripada pengguna sistem iaitu para guru yang sedang melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara dalam talian.
KPM memaklumkan sehingga hari ini, prestasi capaian adalah semakin baik namun ia masih belum pulih sepenuhnya dan pemantauan prestasi capaian sistem serta tindakan pemulihan diteruskan secara rapat dan segera bagi memastikan isu gangguan dapat diatas secara menyeluruh.
Menurut kenyataan itu, para guru juga mempunyai tempoh sehingga 10 Mac depan untuk melaksanakan aktiviti perekodan dan pelaporan PBD sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kerja PBD Akhir Sesi Akademik 2022/2023.
“KPM memahami kesulitan yang dihadapi oleh para guru dan memohon maaf atas masalah tersebut serta akan memastikan supaya prestasi capaian aplikasi KPM adalah tahap cemerlang,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA