SETAPAK: Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tidak banyak ketirisan berlaku di kementerian diterajuinya menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2021.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau sudah memaklumkan kepada pengurusan tertinggi kementerian agar mengambil langkah segera terhadap teguran dalam laporan berkenaan sekiranya berlaku salah laku.
Zahid memberitahu menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2021, beliau mendapati tidak banyak ketirisan berlaku di kementerian yang diterajuinya.
“Kami jemaah menteri telah meneliti laporan ketua audit itu dan saya beritahu mesyuarat pengurusan tertinggi KKDW semalam bahawa kita mesti ambil langkah segera untuk mengatasi dapatan kajian audit yang memfokuskan jika ada ketirisan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa atau sebarang perkara melibatkan kewangan dan pengurusan.
“Maka ini mesti diberi tumpuan segera oleh pihak tertinggi pengurusan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat Felcra Berhad.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim semalam meminta semua menteri meneliti secara serius setiap teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021 terutama melibatkan soal perbelanjaan, ketirisan, atau tidak menepati syarat serta peraturan dalam peruntukan kewangan.
Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, pelantikan pengerusi Felcra diselaraskan dengan pelantikan agensi kerajaan lain.
Pada 16 Disember, Zahid melantik semula bekas Ahli Parlimen Machang, Jazlan Yaakub sebagai pengerusi Felcra biarpun Jemaah Menteri memutuskan supaya semua jawatan politik dalam GLC ditamatkan.
Zahid menjelaskan, lantikan semula Jazlan selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta Malaysia Berhad.
Bagaimanapun, pelantikan itu ditangguhkan oleh Anwar selepas enam hari pengumuman dibuat.