PUTRAJAYA: Keputusan sama ada program rintis pembayaran bantuan kebajikan tanpa tunai, JKMPay akan diteruskan atau tidak bergantung kepada kehendak Orang Kurang Upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu berdasarkan maklum balas daripada mereka yang terjejas oleh sistem yang sedia ada.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi yang mengetengahkan isu JKMPay ini.
“Beliau bawa isu ini bukan untuk diri sendiri tetapi mewakili keseluruhan OKU, kita amat memerlukan feedback daripada mereka yang terjejas.
“Theres no problem untuk meminda atau memperbaharui, kalau ia terbaik untuk mereka (OKU).
“Yang tahu sistem ini mudah atau sebaliknya adalah mereka sendiri because we are not the one yang gunakannya, jadi kita perlu mendengar apa mereka (OKU) mahu dan perlu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Amanat YB Menteri Bersama KPWKM di sini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan yang dibangkitkan semula oleh Ras Adiba dalam mesyuarat Kabinet semalam mengenai pelaksanaan JKMPay yang wajar dihentikan.
JKMPay adalah inisiatif ke arah pendigitalan dalam menyampaikan bantuan kepada OKU itu tidak langsung mendapatkan sebarang pandangan terlebih dahulu daripada komuniti itu sendiri.
Tambah Nancy, KPWKM telah pun menjalankan kajian dan hasilnya akan dibentangkan akhir bulan ini.
“Ini maksudnya balik kepada cash payment, dan saya telah bincang dengan pengurusan.
“Saya sudah dimaklumkan untuk membuat kajian dan tunggu laporan.
“Kita hendak lihat dari segi manfaat penggunaan tunai atau tidak.
“Ada yang setuju, ada yang tidak setuju lihat peratusan sama, jika lebih ramai tidak setuju, mungkin akan balik kepada tunai tetapi pertukaran sistem ini akan ambil masa,” katanya.