PUTRAJAYA: Pelaksanaan Malaysia Madani mampu memberi peluang baik untuk reset negara, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Mengulas berkenaan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fahmi berkata, Malaysia Madani diletakkan sebagai kerangka asas gerak kerja bagi Kerajaan Perpaduan bergerak ke depan.
Menurutnya, ini bukan sahaja gerak kerja untuk kerajaan, malah merupakan satu misi bagi seluruh rakyat Malaysia.
“Apabila kita mendengar intipati, keseluruhan ucapan Perdana Menteri tadi, ianya adalah usaha yang bukan hanya di kalangan jemaah menteri, tetapi juga di kalangan rakyat.
“Niat kita adalah untuk mengangkat martabat negara, menyelesaikan masalah rakyat dan keprihatinan yang Perdana Menteri berikan bukan hanya kepada angka-angka yang memukau tetapi untuk benar-benar menyelesaikan masalah bagi semua golongan rakyat.
“Kita juga mendengar tentang mesej berkaitan konglomerat dan projek-projek besar serta bagaimana tindakan terhadap apa-apa penyelewengan yang pernah berlaku sebelum ini adalah di tangan pihak berkuasa.
“Dan ini bagi saya memberi satu peluang yang sangat baik untuk satu reset dan satu rekalibrasi supaya pergerakan kita memacu pertumbuhan ekonomi, dalam keadaan politik yang telah stabil, akan dapat dirancakkan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas Anwar menyampaikan amanat sempena Wacana Membangun Negara Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.
Tambahnya, pelaksanaannya juga akan segera dilakukan oleh semua semua kementerian, agensi dan badan-badan kerajaan dalam masa terdekat.
“Selepas ini, semua kementerian, agensi dan badan-badan kerajaan akan mula meneliti dokumen ini dan mengaplikasikan dalam dasar dan juga pelaksanaan bagi gerak kerja kementerian.
“Bagi saya sendiri, sebenarnya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), kami ada satu pemukiman pada hari ini dan kita akan membedah buku dan meneliti apa yang telah diumumkan Perdana Menteri serta gagasan yang dibawa,” katanya lagi.