HomeBeritaMat Sabu perjelas isu import telur ayam dari India

Mat Sabu perjelas isu import telur ayam dari India

CYBERJAYA: Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengimport telur ayam dari India kerana pengeluar dari negara itu dapat memenuhi dengan segera keperluan bekalan dikehendaki Malaysia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu berkata, bekalan itu diperoleh daripada pengeluar sama yang membekalkan telur ayam bagi temasya Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar tahun lalu.

“Kita buat keputusan untuk import dari negara itu kerana kita mahu buat cara segera dan kita pilih mana (pengeluar) yang memberi tawaran dengan cepat.

“Kalau kita mahu import cara biasa ia mungkin memakan masa kerana perlu melalui pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan sebagainya,” katanya seperti dilapor Utusan hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Amanat Menteri bersama warga MAFS, di Putrajaya, pada Isnin.

Tambah beliau, bekalan telur ayam import dari Tamil Nadu, India juga sudah mematuhi pelbagai spesifikasi dan syarat diperlukan, tambahan lagi ia sudah mendapat kepercayaan untuk dibekalkan pada temasya Piala Dunia 2022 itu.

Jelasnya, import telur ayam dari India sedang berjalan, namun, langkah itu tidak lama dan akan dihentikan jika situasi bekalan di pasaran tempatan kembali stabil.

Untuk makluman, Mohamad bersama delegasi MAFS baru-baru ini membuat tinjauan proses pengeluaran telur ayam di Namakkal, Tamil Nadu, India bagi memastikan telur yang diimport ke negara ini bersih, selamat dan lebih murah dari telur tempatan.

Ladang pengeluaran telur di Namakkal itu terletak lapan jam perjalanan darat dari lapangan terbang Chennai, Tamil Nadu, selatan India.

Author

Pilihan Editor