MARANG: Mayat seorang wanita ditemukan di dalam semak di tepi jalan Kampung Alor Gali menghala ke Wakaf Tapai di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata, mayat wanita dianggar berusia antara 20-an hingga 30-an itu dijumpai sekitar 2.30 petang dalam keadaan terlentang oleh orang awam yang sedang mencari daun palas di kawasan berkenaan.
“Mayat dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian dan tiada sebarang kesan pergelutan atau tompokan darah ditemui di lokasi itu. Pemeriksaan pasukan forensik mendapati tiada sebarang kesan tikaman, tetakan atau kelar pada mayat.
“Barang kemas seperti cincin dan rantai leher dipercayai emas masih berada di leher dan tangan mayat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zain berkata, buat masa ini tiada petunjuk yang boleh mengaitkan kematian wanita itu berunsur jenayah dan kes disiasat sebagai mati mengejut.
Beliau berkata, identiti mayat juga belum dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan dan orang ramai yang kehilangan ahli keluarga wanita diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di talian 09-6182222 untuk membantu siasatan. – BERNAMA