PUTRAJAYA: Adalah amat memalukan apabila Malaysia sebagai sebuah negara yang telah merdeka lebih enam dekad membiarkan rakyatnya mengalami keperitan hidup sementara pemimpinnya bermewahan.
Demikianlah teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam amanat beliau yang disampaikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis, sempena Wacana Membangun Negara Madani.
“Tidak boleh diterima negara yang merdeka lebih enam dekad membiarkan segelintir rakyat miskin kota atau desa atau pedalaman Sabah dan Sarawak, walaupun jumlahnya dan angka-angkanya menurun, ke timbang penilaian dulu.
“Tetapi, setakat Julai 2022, angka kajian yang terakhir masih ada 136,000 isi rumah dalam kategori miskin tegar, adalah mengaibkan dan memalukan kalau kita izinkan kelompok ini bersama 308,000 isi rumah dalam kategori miskin, dan pimpinan hidup dengan mewah dan terus mengutip habuan yang bukan hak mereka.
“Haram bagi kita pimpinan politik atau penjawat awam mengamalkan rasuah atau membazir dalam keadaan sebahagian rakyat kita mencecah ratusan ribu dalam kehidupan yang perit,” tegas Anwar.
Menurut beliau, Jabatan Perangkaan Malaysia masih mendedahkan bahawa 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 telah beralih kepada kumpulan B40, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bencana COVID-19.
Namun, katanya, ini bukanlah alasan untuk membiarkan keadaan ini berterusan tanpa langkah yang lebih berani.
“Saya sentuh soal pendapatan, tetapi percayalah, ukuran kadar kemiskinan mesti berubah. Selain daripada pendapatan, ialah diberi ukuran kemiskinan pelbagai dimensi (multi-dimensional index) untuk mengukur kemiskinan ini lebih adil.
“Rakyat umumnya, dan kita dalam kategori yang lebih atas ukur pendapatan itu dari sudut lain, rumah, kenderaan, keselesaan hidup, dan pendidikan anak-anak. Tetapi, apabila ukur kadar kemiskinan, hanya pendapatan.
“Sebab itu ia harus diperluaskan dan ini telah pun dimulakan sebelum ini dan saya mahu perkara ini, insya-Allah dilengkapkan, barulah disebut masyarakat itu benar-benar madani, yang ada keprihatinan, ada ihsan ada rahmah dalam menjalankan tugas mereka,” jelas Anwar.