PUTRAJAYA: Menggulung ucapan amanatnya sempena Wacana Membangun Negara Madani, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap perjalanan di Parlimen akan datang lebih manusiawi.
Beliau yang berucap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis, memohon semua pihak agar membuka hati menjayakan misi Malaysia Madani.
Katanya, ini adalah bagi menaikkan semula dan menyelamatkan negara tercinta, Malaysia.
“Saya tegaskan semula, buka pintu hati kita semua, selamatkan negara kita, negara kita ini pernah menunjukkan potensi yang sangat baik, pernah tercorot.
“Maka, berilah kesempatan untuk anak-anak kita, untuk generasi penerus, supaya harapan ini boleh dibina dengan kekuatan yang dimulai sekarang.
“Dan saya menaruh keyakinan dengan rakan-rakan saya, bukan sahaja dalam jemaah menteri, dalam politik, umumnya. Dan kita akan lihat umpamanya perjalanan Parlimen akan datang, saya harap lebih siuman, lebih tenang, lebih manusiawi daripada yang kita saksikan dahulu.
“Bila kita sebut lebih manusiawi, kalau tidak manusiawi, lawannya itu jelik, jadi sebab itu saya percaya kita boleh lakukan,” ujarnya tegas.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kembali kepada semua bahawa kerajaan pimpinan beliau tidak akan menutup semua pekung penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam negara.
Malah, katanya, harta negara dan rakyat yang telah diambil secara tidak sah juga harus dipulangkan semula.
“Ada orang mengandaikan kalau begitu bolehkah kita tutup semua pekung penyelewengan dan rasuah, itu bukan urusan saya. Kita percaya kepada peranan badan penguatkuasaaan dan badan kehakiman.
“Tetapi kita harus juga tahu bahawa harta-harta yang diambil secara tidak sah, kalau pandangan saya, harus dipulangkan kepada negara dan rakyat.
“Soal penyeksaan peribadi, banyak sudah kita maafkan, tetapi negara ini mesti diselamatkan, negara ini mesti diangkat semula martabatnya, kita mahu Malaysia harum semula sebagai negara adil, ada martabatnya, adil kepada rakyatnya dari semua kaum, agama serta pelusuk kampung dan pedalaman,” katanya lagi.